Hakim Nor Rajiah Mat Zin memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.
Mereka ialah empat ahli lembaga pengarah yang juga adik-beradik, Yip Kok Wai, 58; Yip Kok Mun, 63; Yip Kok Kuin, 55, dan Yip Kok Weng, 65; serta pengurus bengkel itu Ho Voon Leong, 64.
Sebelum ini empat beradik itu dan pengurus bengkel itu mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Syafeera Mohd Said.
Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa melakukan khianat dengan menyebabkan bahan buangan yang mengandungi bahan berbahaya daripada bengkel Yip Chee Seng & Sons Sdn Bhd dilupuskan ke dalam alur air yang akan mengalir ke dalam Sungai Gong dengan mengetahui bahawa ia akan menyebabkan susut bekalan air bagi minuman manusia.
Kelima-lima lelaki itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di premis berkenaan di Kampung Sungai Dua, Rawang dekat sini antara 2 dan 3 September 2020.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima hingga 30 tahun dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan kedua, mereka dengan niat bersama dituduh telah melepaskan bahan buangan mengandungi bahan berbahaya dari bengkel sama ke dalam alur air yang akan mengalir ke sungai sama tanpa lesen, di tempat dan masa sama.
Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan hukuman denda RM100,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 3 September 2020, berlaku pencemaran minyak dari kilang berkenaan yang telah menyebabkan empat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas, mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual yang menjejaskan kira-kira lima juta pengguna di 1,292 kawasan di tujuh wilayah di sekitar Lembah Klang. - Sinar Harian