Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata hasil siasatan mendapati sindiket ini disyaki terlibat dalam jenayah khianat, termasuk menyimbah cat dan melakukan khianat dengan api di beberapa premis perumahan di sekitar Pulau Pinang.
"Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Pulau Pinang telah melancarkan operasi besar-besaran terhadap sindiket Ah Long ini yang dipercayai menjalankan kegiatan pinjaman wang tanpa lesen. Dalam operasi tersebut, kami berjaya menahan empat lelaki berusia antara 23 hingga 28 tahun di beberapa lokasi berasingan di Perak, Kedah, dan Pulau Pinang.
"Sindiket ini dipercayai terlibat dalam kegiatan pinjaman wang tanpa lesen yang melibatkan Ah Long tempatan serta pinjaman wang dalam talian, di samping melakukan jenayah khianat seperti menyimbah cat dan membakar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata dalam operasi itu, polis berjaya merampas beberapa barang kes penting, termasuk set daftar perniagaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan pinjaman wang tanpa lesen, buku cek, buku catatan yang mengandungi senarai nama peminjam, empat telefon bimbit, dan sebuah kereta.
Hamzah berkata hasil siasatan awal mendapati empat lelaki yang ditahan itu mengaku terlibat dalam 27 kes simbah cat dan khianat dengan api yang melibatkan enam negeri, iaitu Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, dan Melaka.
Katanya pemeriksaan ke atas telefon bimbit yang dirampas turut menemui 24 rakaman video jenayah simbah cat dan khianat yang direkodkan oleh suspek-suspek semasa melakukan perbuatan tersebut di lokasi berasingan.
"Semua mereka kini direman untuk siasatan lanjut, dan kes disiasat di bawah Seksyen 427, 435 dan 436 Kanun Keseksaan serta Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951," katanya.
Beliau berkata polis Kontinjen Pulau Pinang turut menasihatkan orang ramai agar membuat laporan polis sekiranya diganggu atau menerima ugutan daripada mana-mana Ah Long supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.
-- BERNAMA