Penyambungan reman dilakukan terhadap tiga lelaki dan seorang wanita untuk pihak polis melengkapkan siasatan.
Adie Sufian Zulkefli
Thu Jun 04 2020
Salah seorang daripada empat suspek yang juga geng Ah Long ditahan reman sehingga 7 Jun ini. - Gambar Astro AWANI
Reman ke atas empat geng Ah Long disambung tiga hari lagi bermula hari ini sehingga 7 Jun.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Sapii Ahmad, tempoh penyambungan reman dilakukan terhadap tiga lelaki dan seorang wanita untuk pihak polis melengkapkan siasatan.
Katanya, kesemua suspek berusia 29 hingga 36 tahun ditahan Ahad lalu selepas disyaki terbabit dalam kejadian membakar sebuah rumah di Taman Serai Wangi, Padang Serai pada 14 Mai kira-kira pukul 6.15 pagi.
Mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Padang Serai, kemudiannya membawa kepada penangkapan kesemua suspek.
Sapii berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan secara menyeluruh berkemungkinan Geng Ah Long ini mempunyai ragkaian lain.
Ini kerana kegiatan geng Ah Long ini dipercayai membabitkan dua negeri iaitu di Kulim, Kedah dan Pulau Pinang.
Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.