Masyarakat diminta tidak mensensasikan isu pergaduhan di pusat membeli-belah Wangsa Walk, Wangsa Maju pada Isnin di dalam media sosial dengan pelbagai spekulasi terutama berpunca daripada perselisihan antara kaum.

Exco Pemuda UMNO, Armand Azha Abu Hanifah berkata, pergaduhan yang berpunca daripada perselisihan kecil seharusnya diselesaikan secara baik dan bukan merebak sehingga viral di media sosial.

"Apa sudah jadi dengan semangat perpaduan dan lebih-lebih lagi semangat menyambut bulan Syawal apabila sekumpulan anak muda Melayu bergaduh mengenai isu yang begitu kecil tetapi golongan yang tidak bertanggungjawab mengeluarkan cerita fitnah ia pergaduhan kaum di dalam sosial media.

"Adakah pihak yang menyebarkan fitnah ini mempunyai agenda yang tidak baik untuk meretakkan hubungan antara kaum di negara ini?

"Terutama selepas kejadian di Low Yatt tempohari, kebebasan bersuara dan media sekali lagi disalah guna untuk terus menyebar api kebencian dan fitnah untuk meretakkan hubungan rakyat," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Armand mengulas pergaduhan antara dua kumpulan yang melibatkan 40 orang di Wangsa Walk yang didakwa pergaduhan antara kaum.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif ketika dilaporkan berkata, pergaduhan itu menjadi viral setelah dikongsi di laman sosial.

Bagaimanapun insiden dipercayai berlaku apabila seorang pemuda yang dipercayai abang kepada seorang gadis berusia 14 tahun berang selepas terserempak dengan adiknya bersama lelaki yang tidak dikenali di aras bawah pusat beli-belah tersebut dan bertindak memanggil beberapa rakannya.

Dalam pada itu kata Armand, boleh dikatakan ramai daripada pengamal media kini tidak paham maksud sebenar kebebasan bersuara dan media.

"Seharusnya kebebasan datang dengan tanggungjawab untuk kepentingan negara dan keamanan negara, bukan sebaliknya.

"Jadi dalam isu pergaduhan antara dua kumpulan yang berlaku semalam, ia hanya kes pergaduhan biasa dan bukan kes perkauman seperti yang disebarkan oleh setengah pihak di media sosial.

"Saya lebih gemar mengelar mereka ini pengossip 'cut and paste' kerana menyebarkan fitnah dan berita tanpa menyelidik perkara tersebut benar atau tidak tetapi hanya suka menyebarkannya untuk mendapat perhatian pembaca tanpa memikirkan apa yang akan terjadi," jelasnya.

Sehingga kini, polis telah menahan 11 individu yang dipercayai terlibat dalam pergaduhan terbabit.

Polis juga sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengenal pasti suspek utama.

Kes akan disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Pada 2011, Armand mencetuskan kontroversi dengan rakaman video dengan aksi meludah.

Ia dikatakan ditujukan kepada pemimpin mahasiswa, Adam Adli yang menurunkan bendera wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Selain itu, Armand turut kelihatan di beberapa video di laman YouTube yang bertujuan memberi amaran kepada beberapa parti pembangkang negara ini.