WASHINGTON: Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan (FTC) Amerika Syarikat telah merujuk aduan terhadap aplikasi popular TikTok dan syarikat induknya ByteDance kepada Jabatan Kehakiman atas dakwaan gagal melindungi privasi kanak-kanak, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Dalam satu kenyataan pada Selasa, FTC memaklumkan pihaknya telah "mendedahkan sebab untuk mempercayai" bahawa TikTok dan ByteDance "melanggar atau hampir melanggar" Akta Perlindungan Privasi Kanak-kanak Dalam Talian.

Sementara itu, TikTok menolak dakwaan terbabit menerusi satu kenyataan di platform X, dengan menyatakan pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan FTC selama lebih setahun.

"Kami kecewa agensi itu meneruskan litigasi dan bukannya bekerjasama dengan kami untuk mencari penyelesaian yang munasabah," menurut Tiktok sambil menambah banyak dakwaan FTC berkaitan peristiwa dan amalan lampau adalah tidak tepat atau telah ditangani.

Pada tahun 2019, TikTok bersetuju untuk membayar US$5.7 juta untuk menyelesaikan dakwaan FTC terhadap syarikat pendahulunya, Musical.ly, mengenai pengendalian data daripada kanak-kanak di bawah umur 13 tahun tanpa kebenaran ibu bapa, yang melanggar undang-undang AS.

-- BERNAMA