NIBONG TEBAL: Akronim 'KERJA' dipilih Calon Perikatan Nasional ( PN) Abidin Ismail sebagai tawaran manifesto kepada penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada pilihan raya kecil (PRK) 6 Julai ini.

Abidin berkata manifesto atau tawaran berkenaan akan dilaksanakannya sekiranya diberi mandat sebagai wakil rakyat kawasan Sungai Bakap, PRK itu nanti.

'K'- merujuk kepada Khidmat Masyarakat dengan menyediakan pusat khidmat masyarakat, program sukarelawan dan perkhidmatan bantuan kecemasan.

E- Ekonomi dan Peluang Pekerjaan iaitu menganjurkan latihan usahawan, mengusahakan bantuan kewangan dan menggalakkan promosi produk pelancongan.

Manakala R- merujuk kepada Rangkaian Infrastruktur yang memfokuskan kepada perbekalan air, penyelenggaraan Jalan Raya dan Kemudahan Awam.

'J' pula adalah Jaminan mengutamakan rakyat iaitu menjamin suara rakyat, menentang polisi membebankan dan mempertahankan hak rakyat.

Dan akhirnya 'A'  - Amanah dan Integriti dengan membuat pemantauan projek dengan memastikan ia dijalankan tanpa ada unsur rasuah dan salah guna kuasa,  serta pemgurusan dana awam dengan bijaksana untuk manfaat semua lapisan masyarakat seterusnya memberi laporan tahunan kepada rakyat.

Abidin berkata, tawaran berkenaan adalah komitmen beliau untuk menyambung usaha dan legasi bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap Nor Zamri Latiff yang belum sempat dilaksanakan.

Jelasnya  tawaran itu  kemudian ditambah baik sesuai dengan penduduk di kawasan itu.

"Manifesto yang kita buat ini kita dah buat lama dah cuma kita menambah baik apa yang dah dibuat arwah abang Zam,  jadi insya-Allah kita nak perkukuhkan lagi.

"KERJA ini maksudnya kita nak bekerja untuk rakyat," kata Abidin selepas pelancaran manifesto KERJA di Bilik Gerakan Utama Perikatan Nasional di Taman Halaman Indah, Sungai Bakap hari ini.

Sebelum ini, Calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin  turut melancarkan manifesto menerapkan konsep PADU sebagai iltizam yang akan dilakukannya kepada pengundi Sungai Bakap sekiranya memilih beliau menjadi wakil rakyat pada PRK kawasan itu nanti.

Joohari berkata, ‘P’ merujuk kepada Prasarana dan Progresif,  ‘A’ - Akhlak, Akademik dan Anak Muda, ‘D’ merujuk kepada Damai manakala ‘U’ merujuk kepada Untuk Semua.

PRK Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Joohari dan Abidin.

Kawasan Sungai Bakap yang berada di bawah Parlimen Nibong Tebal diadakan semula pilihan raya susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.