IPOH: DAP menghormati pilihan dibuat oleh pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap dan akan membuat introspeksi atau penilaian terhadap keputusan yang diperoleh itu, kata Ketua Whip Parlimen DAP Nga Kor Ming.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata sebagai parti politik yang mempunyai cita-cita dan misi, DAP akan terus menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menggalakkan pembaharuan dan melaksanakan lebih banyak dasar yang menguntungkan negara dan rakyat.

"Kita akan bersama-sama Perdana Menteri melalui susah dan senang dalam usaha kita untuk membina semula negara yang tercinta," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata DAP yang mempunyai 40 Ahli Parlimen dan pemimpinnya akan memperkukuh dialog dengan masyarakat di peringkat akar umbi untuk lebih memahami pandangan umum daripada pelbagai perspektif.

Menurut Nga, parti itu komited dan berdedikasi untuk mengejar pencapaian politik dan mendapat kepercayaan rakyat sambil membuat persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai lepas, menyaksikan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail memenangi kerusi itu dengan memperoleh 14,489 undi, menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin yang memperoleh 10,222 undi.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan berikutan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff yang juga Ketua PAS Bahagian Nibong Tebal pada 24 Mei lepas.

-- BERNAMA