TAIPING: Empat buah rumah sederet musnah dijilat api dalam kejadian kebakaran di Jalan Taman Pertama, Aulong di sini, hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, empat buah rumah tersebut masing-masing terbakar sebanyak 85 hingga 95 peratus.

Katanya lagi, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9 pagi tadi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping dengan dibantu BBP Bagan Serai dan Kamunting digerakkan ke lokasi.

"Kebakaran melibatkan empat buah rumah kelas B, masing-masing berkeluasan 60x20, bagaimanapun tiada mangsa terlibat.

"Rumah pertama terbakar 95 peratus, kedua dan ketiga 90 peratus manakala keempat 85 peratus," katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Katanya lagi, anggota bomba kemudiannya membuat pemadaman api dengan menggunakan dua aliran 200 kaki empat pancutan dengan sumber air dari pili bomba.

Dalam pada itu katanya, punca kebakaran empat rumah berkenaan masih dalam siasatan.

Operasi yang diketuai PKPgB Rafeel Hairul Richard itu selesai sepenuhnya pada jam 11.29 pagi.