KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merekodkan kutipan lebih RM28 juta menerusi aplikasi digital MyJPJ bulan lepas iaitu sebulan selepas transaksi dalam talian diperkenalkan pada Jun.

Ketua Pengarah JPJ, Aedy Fadly Ramli berkata, jumlah bayaran yang diperolehi selepas kaedah pembayaran 'Payment Gateway' (FPX) diperkenalkan itu adalah sembilan kali ganda daripada kutipan hasil menerusi portal MySikap iaitu lebih RM3 juta dalam tempoh sama.

"Kita mendapat reaksi positif daripada pengguna aplikasi MyJPJ apabila mereka memilih melakukan transaksi secara dalam talian, ini adalah kejayaan baharu kepada JPJ.

"Ini juga membuktikan rakyat sudah nampak kemudahan yang disediakan JPJ dalam memudahkan urusan mereka secara digital dan mengurangkan bilangan orang ke kaunter atau pejabat POS untuk memperbaharui Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM)," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Aedy Fadly berkata, sehingga semalam, lebih 12.7 juta pengguna sudah memuat naik aplikasi MyJPJ sejak diperkenalkan pada Febuari tahun lepas.

Beliau berkata, antara transaksi dalam aplikasi MyJPJ termasuk semakan berkaitan pembaharuan dan pelesenan kenderaan dan pemandu, saman, pautan ke aplikasi bidaan nombor kenderaan (JPJeBid) serta aplikasi nombor giliran (JPJeQ).

Selain itu, katanya, pengguna boleh membuat laporan aduan kesalahan trafik dan perkongsian LKM secara digital.

Bagi menambah baik aplikasi yang lebih setahun diperkenalkan itu, Aedy Fadly berkata kerajaan menerusi JPJ akan memperkenalkan MyJPJ versi dua yang dijangka dapat disediakan kepada pengguna pada hujung tahun hadapan.

"Ketika ini perancangan untuk tender baharu bagi MyJPJ versi kedua sudah siap tetapi perlu disemak oleh Jabatan Digital Negara (Kementerian Digital). Versi kedua ini nanti dapat menyelesaikan banyak isu (aduan) berkaitan oleh pengguna aplikasi MyJPJ," katanya.

Beliau berkata, sistem aplikasi MyJPJ yang dibangunkan oleh pasukan teknologi digital dalaman JPJ turut berdepan dengan serangan siber namun pihaknya sentiasa menjalankan pemantauan 24 jam selain bekerjasama dengan Jabatan Digital Negara bagi mengatasi perkara terbabit.

Menurutnya, setakat ini hanya sistem JPJeBid menghadapi cubaan dua kali digodam baru-baru ini tetapi pihaknya berjaya menghalang serangan tersebut.

"Dalam sistem MyJPJ tiada isu (serangan siber) tetapi hanya berlaku pada sistem JPJeBid...ia berlaku pada 30 minit terakhir apabila ada serangan untuk hentikan pengguna masuk ke dalam sistem sehingga tergendala (hang) yang menyebabkan nilai nombor pendaftaran dibida tidak tinggi.

"Kami berjaya atasi perkara itu dan sudah mempunyai pelan mitigasi melibatkan sistem JPJeBid ini. Kita sentiasa siap siaga untuk menangani isu-isu melibatkan penggodam dan serangan siber ini," katanya.
- BERNAMA