Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy hari ini menegaskan pendiriannya akan hanya berdebat selepas prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai 1MDB selesai.

Dalam satu kenyataan media, Arul Kanda berkata integriti PAC perlu dihormati dan sebarang debat hanya boleh dijalankan selepas selesai prosiding PAC.

"Speaker (Tan Sri Pandikar Amin Mulia) mempunyai kuasa mutlak ke atas sebarang hal melibatkan Parlimen.

"Beliau telah membuat keputusan berhubung tanggungjawab saya selaku saksi PAC dan mana-mana debat hanya boleh diadakan selepas siasatan PAC," ujar Arul Kanda.

Kenyataan media itu dikeluarkan beberapa jam selepas Pakatan Harapan mengumumkan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli sebagai pengganti Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua untuk berdepan Arul Kanda di dalam debat 1MDB.

Arul Kanda dalam kenyataan media itu turut mengakui keupayaan Rafizi, namun beliau tidak mahu terperangkap di dalam permainan politik pembangkang.

"Saya menghormati kewibawaan YB Rafizi Ramli untuk berdebat, beliau seorang pendebat yang baik, orator dan seorang yang budiman," ujar beliau.

Pada masa yang sama, Arul Kanda menyatakan kesediaan untuk menjawab kesemua 10 soalan berkaitan syarikat pelaburan strategik itu yang dilontarkan oleh Tony Pua beberapa hari lalu.

Malah beliau mengulangi komitmen 1MDB akan tampil di dalam prosiding PAC dan fokus sepenuhnya ke arah melaksanakan pelan rasionalisasi 1MDB.

BACA: 'Saya sedia undur diri jika debat 1MDB Arul-Tony tidak ikut syarat' - Pandikar

BACA: RTM hanya siarkan secara langsung debat Tony dan Arul sahaja - Salleh

BACA: Drama #Debat1MDB: 20 adegan menarik yang anda perlu tahu