Ringkasan AI
- Datin Seri Rosmah Mansor memfailkan permohonan supaya Hakim Adlin Abdul Majid menarik diri daripada mendengar kes saman sivil US$346 juta difailkan 1MDB terhadapnya kerana hakim itu pernah menjadi rakan kongsi firma guaman yang dilantik oleh 1MDB.
- Rosmah berpendapat terdapat "real danger of bias" kerana Hakim Adlin pernah menjadi peguam di firma Lee Hishammuddin Allen & Gledhill (LHAG) yang dilantik oleh 1MDB pada 2018 untuk mewakili syarikat itu. Beliau juga menekankan haknya untuk mendapatkan perbicaraan yang adil.
- 1MDB dan SRC International menuntut Rosmah membayar US$346 juta yang didakwa digunakan untuk membeli barang kemas, beg tangan, dan barangan mewah lain dari dana syarikat tersebut, dan memohon deklarasi bahawa mereka mempunyai hak terhadap barangan mewah tersebut.
Saman 1MDB dan 10 syarikat lain terhadap isteri kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu adalah berhubung pembelian barangan mewah berjumlah lebih US$346 juta, yang didakwa diperoleh menerusi penyelewengan dana 1MDB.
Dalam permohonan difailkan melalui Tetuan Reza Rahim & Rajivan semalam, Rosmah memohon Hakim Adlin Abdul Majid yang sedang mendengar saman itu untuk menarik diri atas alasan hakim itu pernah menjadi peguam di firma guaman Lee Hishammuddin Allen & Gledhill (LHAG).
Hakim Adlin merupakan rakan kongsi firma berkenaan pada Mac 2011 hingga Mac 2021 sebelum dilantik menjadi Pesuruhjaya Kehakiman pada 1 April 2021.
Rosmah berkata beliau percaya bahawa Tetuan LHAG dilantik 1MDB seawal 2018 untuk mewakili syarikat itu bagi mendapatkan semula aset-aset berkenaan berdasarkan laporan media yang diterbitkan antara 30 Ogos 2018 dan 4 Jun 2021.
"Saya dinasihatkan oleh peguam saya dan dengan sesungguhnya menyatakan terdapat 'real danger of bias' dan demi kepentingan keadilan, adalah wajar bagi Hakim Adlin menarik diri daripada mendengar kes ini dan mohon kes dipindahkan ke mahkamah lain untuk didengar oleh hakim bicara lain," kata Rosmah dalam afidavit diikrarkan untuk menyokong permohonan itu.
Dakwa Rosmah, ia adalah hak mutlaknya untuk mendapatkan perbicaraan yang adil dan hak itu akan diprejudiskan atau menjadi sia-sia sekiranya Hakim Adlin mendengar kes saman berkenaan.
"Peraturan 6 Kod Etika Hakim 2009 dengan jelas menyatakan bahawa "A judge shall act at all times in a manner that promotes integrity and impartiality of the judiciary".
"Untuk mengelakkan keraguan, saya dengan sesungguhnya menyatakan bahawa permohonan ini tidak mempertikaikan integriti dan peribadi Hakim Adlin atau integriti keseluruhan sistem pentadbiran keadilan negara ini dan oleh demikian, saya memohon satu perintah seperti dalam permohonan saya," kata Rosmah.
Selain 1MDB, tuntutan mahkamah difailkan pada 9 Mei lepas menyenaraikan lima anak syarikatnya iaitu 1MDB Energy Holdings Limited; 1MDB Energy Limited; 1MDB Energy (Langat) Limited; Global Diversified Investment Company Limited; dan SRC International Sdn Bhd sebagai plaintif pertama hingga keenam.
Lima syarikat lain terdiri daripada Affinity Equity International Partners Limited; Alsen Chance Holdings Limited; Blackrock Commodities (Global) Limited; Blackstone Asia Real Estate Partners Limited; dan Brightstone Jewellery Limited, disenaraikan sebagai plaintif ketujuh hingga ke-11.
Kesemua plaintif menamakan Rosmah dan seorang wanita bernama Shabnam Naraindas Daswani (juga dikenali sebagai Natasha Mirpuri) sebagai defendan pertama dan kedua.
Dalam pernyataan tuntutan, 1MDB mendakwa Rosmah memperoleh barang kemas, beg tangan dan barangan mewah lain yang dibeli menggunakan dana syarikat berkenaan berjumlah lebih US$346 juta (RM1.6 bilion) daripada 48 vendor berbeza di 14 negara.
Vendor terbabit ialah dari British Virgin Islands (satu), Hong Kong (sembilan), India (empat), Indonesia (dua), Itali (tiga), Lubnan (tiga), Mauritius (satu), Panama (satu), Singapura (satu), Thailand (dua), Emiriah Arab Bersatu (tujuh), Turki (dua), United Kingdom (dua) dan Amerika Syarikat (tujuh), manakala lokasi tiga lagi tidak diketahui.
1MDB dan SRC mendakwa lapan entiti luar pesisir yang menerima dana tidak berkaitan dengan syarikat itu ialah Aabar Seychelles, Affinity Equity, Alsen Chance, Blackrock, Blackstone, Brightstone, Good Star Ltd dan World Merit Management Ltd yang didakwa bertindak sebagai perantara serta membuat pembayaran bagi barangan mewah terbabit.
Oleh itu, kesemua plaintif antara lain menuntut Rosmah membayar US$346,010,489 atau sejumlah amaun ditaksir oleh mahkamah, selain memohon deklarasi bahawa plaintif pertama hingga keenam mempunyai hak terhadap barangan mewah yang kini didakwa berada dalam simpanan defendan pertama.
-- BERNAMA