KUALA LUMPUR: Pertuduhan pengubahan wang haram dan mengelak cukai terhadap Datin Seri Rosmah Mansor harus dibatalkan kerana ia salah di sisi undang-undang serta melanggar hak asasi beliau di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

Peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin berkata lima daripada 17 pertuduhan yang dihadapi isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu hendaklah dibatalkan kerana tiada hasil dijana daripada aktiviti haram susulan kegagalan beliau mengisytiharkan pendapatan.

"Kami menegaskan bahawa kegagalan memberikan penyata atau notis untuk dicaj tidak seharusnya dianggap sebagai menjana hasil daripada aktiviti haram," katanya ketika berhujah di hadapan Hakim K. Muniandy.

Rosmah, 72, berdepan lima pertuduhan pengubahan wang haram kerana gagal mengemukakan penyata pendapatan bagi RM7,097,750 yang dideposit ke dalam akaun bank beliau mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

Firoz Hussein juga berkata pertuduhan terhadap anak guamnya adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah yang telah menjejaskan kualiti hidup Rosmah iaitu hak yang dilindungi di bawah Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan.

"Rosmah terpaksa membayar yuran guaman dan wang jaminan sehingga RM1 juta, hadir ke mahkamah pada setiap tarikh sebutan serta sentiasa bimbang memikirkan pertuduhan terhadapnya selain pembelaan yang mungkin menyebabkan beliau dihukum penjara sekali gus menjejaskan kesihatan mental beliau," katanya.

Beliau berhujah Seksyen 85 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001, yang memberikan kuasa kepada Menteri Kewangan untuk menambah predikat atau kesalahan, adalah ultra vires manakala tindakan memasukkan Seksyen 112 Akta Cukai Pendapatan 1967 iaitu berkaitan kegagalan memberikan penyata pendapatan, dalam jadual kedua adalah tidak berperlembagaan.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib pula berhujah bahawa Seksyen 85 AMLATFPUAA adalah berperlembagaan kerana secara teknikal ia bermakna sesiapa yang tidak mengisytiharkan penyata pendapatan boleh menikmati hasil daripada aktiviti haram.

Beliau akan meneruskan hujah apabila perbicaraan kes bersambung pada 12 Nov ini.

Rosmah juga didakwa atas 12 pertuduhan terlibat secara langsung dalam transaksi membabitkan hasil daripada aktiviti haram yang menyebabkan RM7,097,750 dideposit ke dalam akaun bank beliau.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di cawangan Affin Bank Berhad, Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini antara 4 Dis 2013 dan 8 June 2017 serta di LHDN Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini antara 1 Mei 2014 dan 1 Mei 2018.

Lapan daripada pertuduhan terbabit adalah di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLTAFA) 2001 manakala bakinya mengikut Seksyen 4(1)(a) AMLATFPUAA 2001.

-- BERNAMA