IPOH: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak campur tangan dalam keputusan Mahkamah Tinggi  Kuala Lumpur yang membebaskan Datin Seri Rosmah Mansor daripada 12 tuduhan pengubahan wang haram dan lima kes gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Perdana Menteri berkata, itu adalah keputusan mahkamah dan terserah kepada Peguam Negara untuk mengambil tindakan berikutnya.

Anwar menegaskan, adalah tidak munasabah menganggap pentadbiran beliau sama seperti pentadbiran terdahulu, yang beliau dakwa Perdana Menteri boleh memanggil  hakim dan memberi arahan.

"Saya tidak menemui mana-mana hakim, saya tidak bicara dengan Ketua Hakim Negara dalam soal keputusan mahkamah.

"Kita hormati keputusan mahkamah. Kalau Peguam Negara merasakan perlu membuat rayuan, itu keputusan Peguam Negara. Tapi saya tidak fikir perkara ini perlu jadi kontroversi," katanya.

Rosmah lepas, bebas 17 tuduhan ubah wang haram, elak cukai

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan  buku “Lim Kit Siang: Malaysian First Jilid 1 & 2” di Ipoh para Jumaat.

Pada Khamis, isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu dilepaskan dan dibebaskan atas kes AMLA mencecah lebih RM7 juta dan lima kes berkaitan LHDN.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib dalam reaksinya selepas prosiding berkata, pihak pendakwaan akan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi itu.