"Gunting rambut sendiri, tidak pun minta tolong rakan atau saudara... tak perlu ke kedai gunting". Itu reaksi ramai bila dikemukakan soalan wajarkah menggunting rambut di kedai atau salon dalam tempoh pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tinjauan Bernama di sekitar Pengkalan Chepa dan Kota Bharu mendapati ramai yang lebih mementingkan kesihatan dan keselamatan diri selain menganggap ia sebagai sumbangan membantu kerajaan mengekang jangkitan COVID-19.

Bagi petugas keselamatan, PW1 Ahmad Saad, 43, walaupun dalam kem ada kedai gunting rambut sendiri, beliau lebih memilih untuk melakukannya di rumah.

"Memanglah jika kita menggunting rambut di kedai, tukang gunting akan beri servis tambahan termasuk urutan kepala, tetapi tempoh 40 minit menggunting rambut itu boleh mendedahkan kita pada pelbagai risiko.

"Berperang dengan virus ini lebih bahaya daripada peperangan sebenar kerana kita tahu rupa musuh yang dihadapi," katanya sambil menambah kaedah ini boleh membantu kerajaan menangani masalah COVID-19 yang kini memasuki PKP minggu keempat.

Kpl Halim, 50, pula berkata beliau menggunting rambut di rumah..."boleh juga rapatkan silaturahim dengan keluarga atau sekurang-kurangnya bermanja dengan isteri".

Sebagai anggota keselamatan, rambut dan pakaian mesti sentiasa kemas dan kebiasaannya mereka memotong rambut tahap satu atau dua, lebih tepat hampir botak.

Murid Tahun 6 Sekolah Pengkalan Chepa, Hafizi Hafiz berkata sejak pandemik COVID-19, beliau baru sekali memotong rambut dan itupun dilakukan ibunya, Adlina Ahmad, 40.

"Kebetulan emak pun tukang gunting rambut di kampung, jadi beliau tahu cara memotong rambut sesuai dengan cita rasa remaja.

"Bagaimanapun, emak hanya menggunting rambut kami adik-beradik sahaja," katanya.

-- BERNAMA