KUALA LUMPUR: Golongan ibu disarankan memberi susu badan kepada bayi memandangkan kaedah itu dapat memberi manfaat kepada kedua-duanya, kata Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi dan Perubatan Janin Dr Vicky Ho Miaw Ping.

Dr Ho dari Pusat Perubatan Sunway (SMC), Bandar Sunway dekat Petaling Jaya berkata kajian menunjukkan bahawa susu ibu terutamanya kolostrum adalah kaya dengan mineral penting, protein, vitamin dan antibodi untuk menyokong sistem imuniti tubuh bayi.

Beliau berkata ia juga menggalakkan tumbesaran dan meningkatkan fungsi penghadaman mereka, selain kolostrum merupakan bentuk susu pertama dihasilkan semasa kehamilan dan sejurus selepas melahirkan bayi.

"Sentuhan kulit ke kulit sewaktu menyusu dapat membantu menstabilkan suhu badan bayi dan menenangkan mereka, sekali gus membuatkan mereka berasa selamat. Dalam pada itu, manfaat penyusuan badan dapat dinikmati oleh golongan ibu sejak awal kelahiran lagi.

"Oksitosin, iaitu sejenis hormon yang dapat merangsang pengecutan rahim, sekali gus mengelakkan risiko pendarahan selepas bersalin (postpartum haemorrhage), akan dihasilkan apabila bayi menyusu badan dan penyusuan badan juga dapat mengurangkan risiko golongan ibu menghidap kanser payudara dan ovari dalam hayat mereka serta membantu mencapai berat optimum selepas bersalin," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Dr Ho berkata persediaan awal penyusuan badan boleh bermula sejak prakelahiran iaitu ketika kandungan berusia 37 minggu dan bakal ibu disarankan menghadiri kelas antenatal bagi mendapatkan maklumat berharga daripada pakar sakit puan dan laktasi serta mempersiapkan diri mereka untuk menyambut kelahiran anak.

"Selain itu, bakal ibu juga boleh melakukan urutan lembut pada payudara bagi merangsang kelenjar susu untuk menggalakkan penghasilan susu. Setelah melahirkan bayi, pengambilan air yang mencukupi sangat diperlukan bagi mengelakkan dehidrasi yang mungkin boleh mengurangkan pengeluaran susu.

"Penghidratan juga mampu mencegah ibu daripada mendapat trombosis iaitu masalah darah beku, dan memastikan golongan ibu dapat menyusukan bayi dengan selamat," katanya sambil menambah para ibu juga perlu mengamalkan diet seimbang dan berkhasiat termasuk pengambilan nutrien yang diperlukan seperti kalsium dan zat besi yang berkurang sewaktu kehamilan dan penyusuan badan.

Beliau berkata rehat yang secukupnya serta pengurusan tekanan fizikal, emosi dan mental juga memainkan peranan penting dalam kelangsungan penyusuan susu ibu.

Menyentuh berhubung cabaran penyusuan badan, Dr Ho berkata antaranya ia membabitkan psikologi dan emosi seperti trauma akibat pengalaman bersalin, sementara faktor fizikal pula kerana ketidakselesaan pada luka bersalin, puting payudara merekah, luka sekitar areola, kelenjar tersumbat dan mastitis (keradangan pada payudara) sering berlaku kepada ibu yang menyusu terutamanya jika teknik menyusu tidak tepat.

Beliau juga menasihati golongan ibu yang mengalami kesakitan atau ketidakselesaan pada payudara, puting, leher atau belakang badan semasa menyusukan bayi boleh melakukannya dengan lebih selesa sekiranya bayi diletakkan pada posisi yang betul seperti pegangan buaian (cradle hold), pegangan buaian silang (cross-cradle hold), pegangan bola sepak (football hold) atau posisi sebelah santai (side lying).

Walaupun penyusuan susu ibu amat digalakkan, namun Dr Ho berkata tidak semua ibu sesuai melakukannya, mengambil kira keadaan tertentu seseorang ibu, misalnya pernah menjalani pembedahan mastektomi disebabkan kanser payudara.

"Sebagai alternatif, penyusuan badan tetap boleh dilakukan sekiranya masih mempunyai sebelah payudara yang sihat," katanya dan memberitahu penyusuan badan juga tidak disarankan sekiranya dijangkiti HIV dan tuberkulosis atau pengambilan ubatan tertentu antaranya psikotropik, antimetabolit atau kemoterapi.

Selain itu, beliau berkata sesetengah bayi juga mungkin tidak sesuai disusukan dengan efektif seperti jika mereka mempunyai masalah seperti sumbing bibir dan lelangit, lidah pendek atau dilahirkan pramatang sebelum 34 minggu.

"Ibu kepada bayi dengan masalah metabolik atau situasi yang memerlukan mereka dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) juga perlu mendapatkan nasihat doktor pediatrik terlebih dahulu sebelum diberi penyusuan badan," katanya.

SMC yang merupakan sebuah hospital kuaternari swasta terbesar di negara ini, telah disenaraikan dalam 250 hospital teratas dalam ranking Hospital Terbaik Dunia Newsweek 2024 dan mengungguli kedudukan teratas dalam bidang pediatrik di Malaysia dalam penarafan Hospital Khusus Terbaik Asia Pasifik Newsweek 2024.

-- BERNAMA