KUALA LUMPUR: Mutu perkhidmatan awam dilihat semakin memberangsangkan apabila orang ramai mengakui berpuas hati dengan pelaksanaan tugas serta kecekapan warga sektor itu terutama membabitkan urusan di kaunter perkhidmatan.

Kebanyakan orang ramai ditemui Bernama meluahkan perkara itu dengan menyifatkan ia sebagai menyahut gesaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahukan penjawat awam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat selari dengan keputusan kerajaan melaksanakan pelarasan gaji menerusi Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bermula Disember ini.

Berkongsi pengalaman, seorang suri rumah Norfazlina Daut, 41, berkata beliau menerima layanan sangat baik ketika berurusan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Senawang, Negeri Sembilan.

Suri rumah itu berkata walaupun waktu operasi pejabat sudah hampir tamat, namun masih dibenarkan untuk meneruskan urusan memperbaharu cukai jalan motosikal miliknya.

"Ketika berurusan di kaunter mereka memaklumkan saya hanya dibenarkan melakukan pembayaran menggunakan kad (debit atau kredit) tetapi wang di dalam akaun saya tidak mencukupi tetapi saya amat bersyukur apabila seorang petugas JPJ menawarkan menggunakan kad banknya dan saya membayar kembali secara tunai," katanya.

Petugas sekolah swasta di Terengganu, Zulkifli Yusof, 43, berkata setakat ini amat berpuas hati dengan layanan diberikan penjawat awam ketika berurusan di mana-mana agensi atau jabatan.

Zulkifli berkata pengalaman ketika menemani isteri bersalin di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu amat menyenangkan kerana kebanyakan petugas terutama jururawat di hospital kerajaan itu sangat membantu walaupun mereka hanya pesakit di wad kelas tiga.

"Keempat-empat anak saya dilahirkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu. Tidak pernah ada masalah layanan kasar seperti selalu kita baca aduan di media sosial.

"Malah, isteri selalu memuji sikap jururawat yang sentiasa bersedia membantu jika diperlukan. Misalnya, membawa dia ke tandas jika sakit kepala dan memandikan bayi jika isteri tidak sihat," katanya.

Sementara itu, di Kedah, Nor Shifa Ahmad, 30, dari Taman Mergong Jaya yang bekerja sendiri berkata terdapat perubahan positif dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam dan label penjawat awam suka 'curi tulang' tidak lagi relevan.

"Sebelum ini, banyak kes kita dengar mengenai perkhidmatan kerajaan yang kurang memuaskan. Tetapi, sekarang saya lihat perkhidmatan mereka sudah semakin baik dan pengumuman kenaikan gaji untuk mereka memang layaklah," katanya.

Anwar ketika mengumumkan pelarasan gaji menerusi SSPA pada Jumaat lepas, berkata SSPA yang menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) dirangka bukan sekadar membawa pembaharuan dan peningkatan dalam pendapatan boleh guna yang akan dinikmati penjawat awam tetapi satu sistem saraan berteraskan prestasi.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata SSPA akan memberi manfaat kepada penjawat awam yang cemerlang dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat, manakala yang gagal akan dikenakan tindakan sewajarnya.

Perdana Menteri dalam ucapannya berkata SSPA mengandungi roh dan semangat Reformasi Perkhidmatan Awam yang perlu dilaksanakan bagi menjayakan agenda Malaysia MADANI.

Beliau berkata tiga ikhtiar untuk menjayakan reformasi itu adalah meningkatkan kadar produktiviti dan kecekapan perkhidmatan awam; meningkatkan kesediaan penjawat awam dalam melaksanakan perubahan; dan meningkatkan daya saing negara.

-- BERNAMA