Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata berdasarkan laporan suku ketiga tahun lepas oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), harga purata sebuah rumah di Melaka ialah RM207,600 berbanding RM458,751 di peringkat nasional.
"Pembangunan RMM di Melaka mendapat pengiktirafan pelbagai pihak dan ia menjadi agenda pembangunan penting di bawah kepimpinan pentadbiran kerajaan negeri sejajar dengan hasratkerajaan pusat iaitu meringankan bebanan kehidupan rakyat dan menambah pembangunan projek perumahan.
"Sebagai contoh, menerusi kerjasama dengan pemaju Parkland Group, hasrat kerajaan negeri untuk memastikan setiap lapisan masyarakat terutamanya golongan B40 dan M40 dapat memiliki kediaman sendiri melibatkan pembinaan hampir 800 Rumah Bahagia dan Rumah Impian B di Bandar Botanikal Parkland di sini," katanya kepada pemberita di sini pada isnin.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pembukaan Lebuh Jasin Selatan, Jalan Jasin Selatan-Bukit Kajang, Taman Rekreasi Bandar Parkland dan Penyerahan Gerai Majlis Perbandaran Jasin (MPJ).
Mengulas lanjut, beliau berkata projek Bandar Botanikal Parkland berkenaan dilengkapi dengan infrastruktur lain seperti Lebuh Jasin Selatan melibatkan jarak 4.17 kilometer (km) dengan kos berjumlah RM100 juta yang dibiayai Parkland Group (84.46 peratus) manakala Scientex (15.54 peratus).
Katanya lebuh raya itu dapat memendekkan jarak perjalanan dari Lebuh Raya Utara Selatan dari Tol Lipat Kajang Jasin ke Bandar Jasin kira-kira 11.1 km dengan purata masa selama tujuh minit berbanding 30 minit sebelum ini.
Ab Rauf berkata satu lagi laluan baharu iaitu Lebuh Jasin Selatan-Bukit Kajang sepanjang 1.81 km yang ditanggung kos sepenuhnya oleh Parkland Group dan ia mampu mengurangkan tempoh perjalanan dari Lebuh Raya Utara-Selatan dari Tol Lipat Kajang Jasin ke Bandar Melaka dalam tempoh 23 minit.
"Saya optimis inisiatif rangkaian lebuh raya yang cekap dan sistematik seumpama ini tentunya mampu memperkukuh jaringan pengangkutan di bandar ini sekali gus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat, kemudahan pergerakan penduduk dan meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.
"Penyediaan sebuah taman bandar yang tersergam indah seluas 12.14 hektar ini mampu menjadi nilai tambah yang sangat berharga kepada komuniti setempat kerana ia bukan hanya menyediakan ruang hijau yang menarik untuk berehat tetapi juga ruang aktiviti rekreasi untuk orang ramai beriadah bersama keluarga," katanya.
-- BERNAMA