Beliau berkata bagi menjayakan PEKB 2025, sebanyak 29 badan bukan kerajaan (NGO) pelaksana telah dipertanggungjawabkan untuk melatih peserta PEKB bagi memastikan setiap daripada mereka menerima latihan keusahawanan yang berkualiti tinggi sehingga dapat mengusahakan perniagaan sendiri.
"Lebih 90 NGO memohon untuk menyertai PEKB, namun kelulusan peruntukan diberi kepada 29 NGO sahaja.
"Mana-mana NGO yang telah diberikan peruntukan, mereka perlu memastikan dalam tempoh enam bulan latihan yang diberikan kepada peserta PEKB ini akan dapat meningkatkan pendapatan hingga RM750, iaitu sekurang-kurangnya melebihi paras garis kemiskinan pada masa ini sebanyak RM747," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Kelulusan Pelaksanaan Program PEKB Tahun 2025 di sini hari ini.
PEKB atau sebelum ini dikenali sebagai Program Azam Bandar ialah program tahunan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang diperkenalkan sejak 2013, iaitu peserta akan menjalani kursus selama seminggu merangkumi kemahiran dan ilmu keusahawanan serta akan diberi kelengkapan dan peralatan yang diperlukan untuk memulakan atau mengembangkan bidang kemahiran yang dipilih.
Hingga kini, sebanyak RM174 juta telah diperuntukkan bagi program berkenaan untuk melatih 16,955 usahawan PEKB di seluruh negara.
Aiman Athirah berkata setiap NGO akan dipantau sepanjang program dijalankan dan mereka diingatkan untuk tidak melanggar ketetapan yang telah dikuat kuasa oleh KPKT serta tidak mengulangi kesilapan yang pernah dilakukan oleh NGO lain sewaktu pelaksanaan PEKB sebelum ini.
"Ada NGO langgar kontrak sebelum ini, jadi kementerian ambil tindakan seperti memanggil mereka untuk memberikan penjelasan dan seterusnya tidak diberi peluang kedua untuk menerima peruntukan, namun ada NGO yang bagus dapat peruntukan berulang kerana pelaksanaan program amat berkesan," katanya.
Antara penerima peruntukan ialah Persatuan Pembangunan Eko dan Usahawan Sosial Sabah yang akan memulakan latihan jahitan kraf tangan kepada lebih 30 individu di Sandakan pada Februari ini.
Presiden persatuan berkenaan Datuk Aminah Ambrose ketika ditemui menzahirkan penghargaan kepada KPKT atas kepercayaan kepada pihak persatuan bagi menjalankan latihan keusahawanan bagi individu yang layak.
"Ketika ini kami masih dalam proses saring nama untuk memastikan hanya mereka yang betul-betul layak menyertai program kami, sekarang kami terima lebih 1,000 permohonan, tetapi hanya 35 akan dipilih dan kami tekad membantu mereka keluar daripada kepompong kemiskinan," katanya.
-- BERNAMA