Beliau berkata pihak DBKL perlu melaksanakan tindakan penguatkuasaan yang lebih ketat dan menggunakan strategi mampan, bagi memastikan tiada warga asing dibenarkan berniaga dalam sektor tersebut.
"Sekiranya tidak dikawal, warga asing yang berniaga dengan sewenang-wenangnya akan merosakkan ekonomi dan wujud persaingan dengan sengaja tanpa sekatan, dan ia merugikan ekonomi tempatan," katanya dalam sidang media khas mengenai isu yang dihadapi oleh penjaja dan peniaga di Kuala Lumpur di sini, pada Isnin.
Beliau juga berkata rondaan oleh penguat kuasa juga perlu dilakukan dengan lebih kerap bagi memastikan premis makanan dan minuman di sekitar bandar raya dijamin status halal dan tahap kebersihannya.
Ini kerana Rosli berkata masih terdapat banyak premis makanan dan minuman yang mencurigakan dari aspek halal dan pematuhan kebersihan.
"Ini memerlukan penekanan daripada Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL, terutamanya untuk memantau aspek kebersihan penyediaan dan penjualan produk daripada premis terbabit," katanya.
Dalam isu berlainan, beliau berkata pihaknya akan mencadangkan kepada Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil supaya sebuah pasar dibina di kawasan Parlimen tersebut.
"Di Lembah Pantai ramai sangat penduduk sekarang tetapi masih tidak ada sebuah pasar untuk mereka membeli barangan makanan harian.
"Saya akan suarakan kepada Fahmi supaya dia mencadangkan kepada DBKL untuk wujudkan satu pasar di kawasannya dan saya harap akan diambil kira ke dalam pembentangan Belanjawan 2025 nanti," katanya.
-- BERNAMA