KUALA LUMPUR: Industri tembakau di Malaysia memang berpengaruh.

Pengaruh mereka melangkaui dasar kesihatan negara. Mereka sering dilihat sebagai pemegang taruh sah dalam kawalan tembakau, sekali gus diberi ruang bersuara dalam pembangunan polisi berkaitan.

Ini sepertimana didedahkan Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni pada Mac lalu.

Mungkin inilah antara sebab Malaysia menduduki tempat ke-76 daripada 100 negara dalam Indeks Campur Tangan Industri Tembakau Global 2023.

Kajian antarabangsa ini menilai gerak balas kerajaan terhadap campur tangan industri tembakau serta usaha melindungi dasar kesihatan awam daripada unsur kepentingan diri dan komersial. Ini seperti yang dituntut di bawah Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Kesihatan Sedunia Mengenai Kawalan Tembakau.

Dapatan kajian itu turut tercermin dalam Indeks Campur Tangan Industri Tembakau Asia 2023, dengan Malaysia berada di kedudukan terbawah dari segi kemerosotan.

Penemuan ini dilihat sebagai akibat perubahan tertentu berkaitan dasar. Ini termasuk keputusan mengeluarkan nikotin daripada senarai racun di bawah Akta Racun 1952 pada Mac 2023, satu langkah yang menyebabkan industri e-rokok dan vape tidak dikawal dan bebas menyasarkan golongan remaja.


Kedudukan yang membimbangkan

Menurut laporan tersebut, keupayaan industri tembakau melibatkan diri dalam pembangunan dan pelaksanaan dasar tanpa sebarang kekangan memperlihat secara jelas tahap pengaruh industri itu.

"Kuasa pengaruh ini digunakan untuk membentuk sikap kerajaan agar memihak kepada langkah kawalan tembakau yang lebih lemah, sehinggakan mereka (industri tembakau) mampu mengubah ruang lingkup regulasi berkaitan peranti rokok elektronik.

"Keadaan ini lebih ketara di Indonesia, Malaysia, dan Filipina di mana regulasi sering selaras dengan pengaruh kuat industri tembakau," kata laporan itu.

Namun untuk memperbaiki persepsi awam, syarikat-syarikat tembakau ini sering melancarkan pelbagai aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) alam sekitar, seperti menyediakan 200 unit tong pembuangan puntung rokok di kawasan pelancongan.

Ada juga yang melancarkan program CSR dengan kerjasama universiti awam tempatan bagi kerja-kerja pembersihan pantai, selain menubuhkan kebun komuniti di kawasan perumahan. Industri ini juga berani mempromosi kehadiran mereka di pameran kerjaya yang rata-rata sasarannya ialah golongan belia.

Tambahan, cukai tembakau di Malaysia tidak dinaikkan sehingga lapan tahun berturut-turut. Ini menyebabkan negara kehilangan peluang untuk mengurangkan penggunaan tembakau melalui langkah fiskal.

Mungkin senario ini akan berubah apabila Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) dilaksanakan. Namun, akta yang pada mulanya dikatakan akan diluluskan pada bulan Jun sehingga hari ini belum dikuatkuasakan.

Akta ini merupakan undang-undang ulung khas bagi kawalan tembakau dan vape di Malaysia. Ia telah diwartakan pada Februari lalu selepas menerima perkenan diraja tetapi belum dikuatkuasakan.


Akta Kawalan Produk Merokok demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852)

Apa yang termaktub dalam Akta ini? Pertamanya, ia akan merangkumi segala yang berkaitan "pendaftaran, pengiklanan, kawalan penjualan dan pembelian produk tembakau, bahan merokok, dan produk gantian tembakau, serta peruntukan untuk perkara berkaitan."

Ia jelas menyatakan bahawa "bahan merokok" bermaksud "sebarang bahan atau gabungan bahan yang digunakan untuk merokok, termasuk nikotin, propylene glycol, gliserol, dan triethylene glycol."

Sementara itu, istilah "merokok" ditakrifkan sebagai "menyedut dan menghembus asap atau wap sebarang produk tembakau atau produk gantian tembakau, dan termasuk memegang atau mengawal sebarang produk tembakau atau produk gantian tembakau yang dinyalakan, dipanaskan atau disejat, atau digunakan dengan kaedah lain."

Ini bermakna vape dan e-rokok akan berada di bawah skop undang-undang ini apabila ia dikuatkuasakan.

Langkah ini amat penting kerana sehingga kini tiada peraturan khusus bagi pengawalan vape dan e-rokok.


Peningkatan penggunaan dalam kalangan belia

Rokok elektronik dan vape kini produk nikotin paling popular dalam kalangan remaja, dengan 14.9 peratus menggunakannya.

Dapatan ini yang diterbitkan dalam Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2022: Tinjauan Kesihatan Remaja oleh Institut Kesihatan Umum, mendedahkan perubahan dalam trend merokok dalam kalangan remaja.

Walaupun penggunaan rokok tradisional telah berkurangan daripada 13.8 peratus pada tahun 2017 kepada 6.2 peratus pada tahun 2022, penggunaan rokok elektronik telah meningkat dari 9.8 peratus kepada 14.9 peratus dalam tempoh yang sama.

Data ini bukan sahaja menunjukkan kuasa tarikan setiap produk baharu industri tembakau terhadap golongan belia tetapi juga keperluan mendesak bagi penguatkuasaan segera Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

Ini bagi mengekang daya tarikan dan ketercapaian rokok elektronik kepada golongan muda.

Jika dilihat penggunaan rokok elektronik dan vape dalam kalangan remaja di Malaysia, Sarawak, Labuan, Sabah, dan Kelantan menduduki tempat teratas. Kelaziman penggunaan di negeri-negeri ini adalah kira-kira lima peratus lebih tinggi berbanding purata kebangsaan sebanyak 14.9 peratus.

Satu lagi aspek yang membimbangkan adalah betapa mudahnya untuk golongan remaja mendapatkan rokok elektronik dan vape.

Data menunjukkan bahawa kira-kira 35 peratus daripada mereka membeli produk ini dari kedai rokok elektronik dan vape, manakala 38 peratus mendapatkannya daripada rakan-rakan.

Pada Julai lepas, tular kewujudan sebuah mesin layan diri (vending machine) vape yang beroperasi di satu pusat membeli-belah di Kuala Lumpur. Pengguna hanya perlu membayar dengan kad atau e-dompet untuk melengkapkan pembelian. Tiada kaedah pengesahan umur digunakan untuk menghalang pelanggan bawah umur daripada membeli.

Walaupun operasi mesin itu telah diarahkan tutup, ia tetap menjadi contoh betapa mudahnya untuk menjual dan mendapatkan produk vape di Malaysia.


Kes keracunan dan trend baru yang membimbangkan

Ketika peningkatan penggunaan rokok elektronik pada tahun 2015 dan terutamanya vaping di Malaysia, beberapa insiden melibatkan kanak-kanak kecil telah dilaporkan.

Ketua Ahli Farmasi Pusat Racun Negara (NPC) Sulastri Samsudin menceritakan

satu kes yang melibatkan seorang kanak-kanak berusia 9 tahun yang disyaki keracunan vape.

"Kanak-kanak tersebut ingin mencuba produk vape perisa susu mangga milik bapa saudaranya. Perisa dan peranti tersebut, yang sering kelihatan menarik kepada kanak-kanak kecil, dibiarkan terbuka tanpa langkah keselamatan yang betul.

"Kanak-kanak tersebut kemudian secara diam-diam mencuba vape untuk merasai perisa mangga. Apabila doktor dari hospital menghubungi kami, ia adalah untuk melaporkan kes kanak-kanak tersebut yang disyaki keracunan nikotin," katanya kepada Bernama.

Walaupun trend keracunan vape secara tidak sengaja dalam kalangan kanak-kanak kecil telah menurun, kebimbangan terhadap penyalahgunaan bahan menggunakan produk vape semakin meningkat.

Sulastri berkata keracunan akibat kanak-kanak terminum cecair isian semula vape mencapai kemuncak ketika pandemik dani sejak 2022, kes penyalahgunaan bahan ini lebih kerap terjadi.

Pada tahun 2024, NPC menerima 14 panggilan berkaitan kes keracunan vape.

Sepuluh daripada kes tersebut melibatkan penyalahgunaan bahan yang disyaki racun. Kebanyakannya melibatkan remaja dan dakwaan menggunakan 'magic mushrooms'.


Trend ini berterusan sejak dua tahun lepas.

Menurut Sulastri, kebanyakan kes yang dirujuk kepada NPC menunjukkan simptom-simptom tingkah laku berubah dan agresif, halusinasi, dan tingkah laku pelik akibat vaping.

Menurut dapatan laporan berkaitan, ada kemungkinan bahawa remaja yang mempamerkan tingkah laku sedemikian mungkin menghidu cecair vape yang dicampur dadah.

"Bahan penyalahgunaan ini boleh menyebabkan beberapa kesan psikiatri. Antara kes yang dilaporkan kepada kami adalah seorang pesakit berusia 14 tahun yang mengaku memasukkan 'mushroom' ke dalam peranti vape untuk dihidu," katanya.


Penguatkuasaan amat penting

Sulastri berharap Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), yang meliputi rokok elektronik dan vape, akan menangani kelemahan regulasi terdahulu.

Namun, beliau menekankan bahawa akta tersebut mesti dikuatkuasakan dengan ketat dan harus memantau reka bentuk dan perisa peranti vape, yang sering mensasarkan golongan muda.

"Akta ini perlu melihat kepada perisa, bentuk, kepekatan nikotin, dan formulasi. Terdapat formulasi nikotin baru yang dipanggil garam nikotin, yang menjadi ketagihan baharu.

"Formulasi garam nikotin mempunyai kepekatan nikotin lebih tinggi daripada yang freebase. Yang freebase biasanya mengandungi sehingga 20mg nikotin. Rasanya pahit dan "keras"," jelasnya.


Di Eropah, kandungan nikotin dalam rokok elektronik dikawal selia.

Menurut Arahan Produk Tembakau Kesatuan Eropah, saiz maksimum botol cecair dihadkan kepada 2ml untuk kartrij dan 10ml untuk bekas isian semula.

Tahap nikotin maksimum yang dibenarkan pula tidak lebih daripada 20mg.

Di Malaysia, jumlah garam nikotin dalam produk sedemikian biasanya antara 30mg hingga 70mg bagi setiap ml.

Ini bermaksud, pod garam nikotin pakai buang yang menyatakan kandungan nikotin sebanyak lima peratus boleh mengandungi 50mg nikotin bagi setiap ml, kata Sulastri

Oleh itu, cecair 5ml akan mengandungi 250mg nikotin.

Formulasi baharu ini menyembunyikan kepahitan dan kekerasan yang biasa dikaitkan dengan nikotin freebase, sekali gus menjadikannya lebih menarik kepada pengguna baharu dan golongan muda.

"Ia adalah inovasi yang dibangunkan oleh industri tembakau untuk menarik lebih ramai pengguna.

"Namun, saya berharap akta yang bakal dikuatkuasakan akan menangani perkara ini dan mengawal formulasi dan kepekatan nikotin dalam vape," kata Sulastri.

-- BERNAMA