Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, keputusan tidak membenarkan penjualan vape kekal dikuatkuasakan di negeri ini sejak 2016.
Menurut beliau, larangan sejak lapan tahun itu masih terpakai melibatkan jual beli vape termasuk perisanya sama ada dalam bentuk gel atau cecair, khususnya yang mengandungi nikotin.
"Sehingga hari ini, PBT di Johor kekal tidak beri lesen penjualan vape dan rokok elektronik.
"PBT di negeri ini masih menguatkuasakan larangan penjualan vape dan rokok elektronik," katanya pada sidang media di Bangunan Sultan Ismail pada Ahad.
Pada 1 Januari 2016, kerajaan negeri menguatkuasakan undang-undang melarang menghisap vape termasuk mengambil tindakan terhadap peniaga yang didapati melakukan urusan jual beli peranti tersebut ekoran titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang melarang kegiatan tersebut di negeri ini.
Pada 19 November lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, kerajaan akan terus mengamalkan pendekatan kawal selia terhadap vape menerusi Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang dikuatkuasakan mulai 1 Oktober lalu.
Beliau dilaporkan berkata, kerajaan Persekutuan kekal dengan pendirian tidak mengharamkan penjualan vape pada peringkat nasional, namun menyerahkan kepada kerajaan negeri untuk menentukan dasar masing-masing termasuk melarang penjualan vape, melalui PBT.
Minggu lalu, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dilaporkan menyarankan supaya penggunaan vape diharamkan secara total.
Baginda dilaporkan bertitah, saranan itu dibuat susulan kebimbangan baginda terhadap penyalahgunaan dadah yang semakin meningkatkan di Pahang, terutama dalam kalangan belia berdasarkan statistik oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK). - Sinar Harian