KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mematahkan cubaan menyeleweng gas petroleum cecair (LPG) selepas menyerbu sebuah premis dijadikan stor untuk menyimpan dan mengedar bahan api itu di Kulai, Johor, Isnin lepas.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam berkata serbuan dilakukan kira-kira 7.30 malam oleh sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Putrajaya bersama KPDN Johor selepas bertindak atas aduan orang awam melalui inisiatif KITA GEMPUR dan risikan selama beberapa hari.

"Pemeriksaan awal mendapati premis itu terletak di belakang sebuah rumah ibadat dan ditutupi dengan pagar zink. Hasil pemeriksaan menemukan sejumlah kenderaan berat di dalam premis itu selain dua lori dalam keadaan mencurigakan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata hasil pemeriksaan lanjut, pasukan serbuan menemukan sejumlah LPG bersama beberapa peralatan lain dipercayai digunakan dalam aktiviti decanting, iaitu memindahkan gas dari tong berkapasiti 14 kilogram (kg) bersubsidi ke tong berkapasiti 50kg untuk kegunaan industri bukan bersubsidi.

Azman berkata pasukan serbuan merampas 368 tong gas kosong dan berisi pelbagai jenama berkapasiti 14kg dan 50kg, sebuah lori, paip getah penyambung, alat timbang pelantar serta beberapa dokumen perniagaan lain, dengan keseluruhan rampasan dianggar RM135,000.

Beliau berkata pihaknya turut menahan seorang warga tempatan berumur 51 tahun yang mengaku penyewa premis berkenaan dan seorang lagi individu berumur 38 tahun dipercayai pekerja di premis itu bagi membantu siasatan.

"Modus operandi sindiket ialah membeli bekalan LPG daripada pemborong LPG berlesen di sekitar kawasan Kulai dan Johor Bahru sebelum dikumpulkan di stor haram terbabit untuk melakukan aktiviti haram itu (pemindahan gas).

"Pemeriksaan turut mendapati premis itu tidak mempunyai dokumen yang sah di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] untuk menjalankan urus niaga berkaitan barang kawalan," katanya.

Azman berkata siasatan sedang dijalankan mengikut Akta 122 bagi mengenal pasti individu atau syarikat lain yang terlibat dalam aktiviti berkenaan serta rantaian pengedaran LPG itu, termasuk menyiasat pemborong LPG berlesen yang membekalkan LPG kepada sindiket.

Selain itu, beliau berkata pihak berkaitan juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613].

Sejak 1 Jan hingga 16 Dis 2024, katanya sebanyak 196 kes berkaitan LPG direkodkan dengan nilai rampasan berjumlah lebih RM800,000.

-- BERNAMA