BATU PAHAT: Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi subjek Bahasa Inggeris serta Tasawwur Islam pada Isnin depan di Johor tetap berjalan seperti biasa meskipun pada tarikh tersebut telah diumumkan sebagai cuti kelepasan am.

Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan, Azman Adnan berkata, seramai 49,980 calon di negeri ini akan menduduki kertas peperiksaan subjek Bahasa Inggeris kertas satu dan dua serta Tasawwur Islam pada tarikh tersebut.

"Kerajaan Johor telah mengumumkan Isnin depan sebagai cuti kelepasan am susulan pertukaran pelaksanaan cuti hujung minggu di negeri kepada Sabtu Ahad bermula tahun ini.

"Pada tarikh berkenaan juga merupakan tarikh peperiksaan bagi subjek Bahasa Inggeris dan juga Tasawuf Islam.

"Oleh itu KPM telah melaksanakan perbincangan dengan kerajaan negeri dan peperiksaan SPM pada Isnin depan berjalan seperti biasa. Calon- calon perlu hadir ke sekolah untuk menduduki peperiksaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Batu Pahat selepas melakukan tinjauan pada hari pertama peperiksaan bertulis SPM di sekolah terbabit pada pagi ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) Hanafi Samad dan Pengetua SMK Tinggi Batu Pahat, Ramlan Pit.

Seramai 402,956 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM 2024 di seluruh negara

Ia membabitkan 3,337 pusat peperiksaan seluruh negara, dengan seramai 126,636 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan.

Peperiksaan SPM 2024 sudah bermula pada 2 Disember dengan ujian amali Sains dan ujian mendengar.

Manakala peperiksaan bertulis bermula pada 2 Januari hingga 6 Februari depan. -- Sinar Harian