Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, langkah tersebut merupakan antara mekanisme dan pelan integrasi bagi memastikan kesemua calon SPM di negeri berisiko banjir dapat menduduki peperiksaan berkenaan.
"Sekiranya berlaku banjir, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) akan aktifkan Ops Payung bagi membantu calon dan juga petugas peperiksaan yang terkesan.
"KPM akan pastikan calon-calon SPM ditempatkan di sekolah yang mempunyai asrama sebagai mekanisme sekiranya banjir berlaku sebagaimana yang dibuat semasa ujian lisan tempoh hari.
"Sekiranya sekolah yang terlibat sebagai pusat peperiksaan dilanda banjir, maka kita akan alihkan calon SPM ke pusat alternatif iaitu di sekolah yang tidak dilanda banjir," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Batu Pahat selepas melakukan tinjauan pada hari pertama peperiksaan bertulis SPM di sekolah berkenaan pada pagi ini.
Turut serta Pengarah JPN Johor, Hanafi Samad dan Pengetua SMK Tinggi Batu Pahat, Ramlan Pit.
Azman memaklumkan, KPM juga menyediakan khidmat bantuan psikososial kepada calon SPM yang mengalami tekanan akibat banjir.
"KPM bersedia sepenuhnya dengan petugas yang akan memberikan perkhidmatan berkaitan dengan sokongan psikososial kepada calon-calon SPM di seluruh negara.
"Ini kerana KPM mempunyai pasukan yang melibatkan guru bimbingan dan kaunseling di sekolah-sekolah, di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan juga di JPN," katanya.
Seramai 402,956 calon telah mendaftar untuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di 3,337 pusat peperiksaan seluruh negara bermula 2 Disember lalu.
SPM 2024 bermula dengan Ujian Bertutur Bahasa Melayu pada 2, 3, 4 dan 5 Disember, Ujian Amali Sains (9,10 dan 12 Disember); Ujian Bertutur Bahasa Inggeris (16,17,18, dan 19 Disember); Ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris (31 Disember) serta Peperiksaan Bertulis (2 Januari hingga 6 Februari 2025).
Pada Rabu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meramalkan kemungkinan berlaku banjir di sembilan jajahan di Kelantan dalam tempoh tiga hari bermula Sabtu ini.
JPS menerusi kenyataan memaklumkan jajahan terlibat ialah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Pasir Puteh, Bachok, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Jeli. - Sinar Harian