KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) melaksanakan pengesanan awal dalam kalangan pelajar Tingkatan 4 yang berisiko cicir bagi memastikan mereka hadir menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.

KPM memaklumkan, pengesanan awal tersebut membolehkan pihak sekolah membuat perancangan bagi melaksanakan intervensi yang bersesuaian.

Menurut KPM, berdasarkan analisis sehingga 22 Jan lepas, seramai 8,164 calon peperiksaan SPM 2024 dilaporkan tidak hadir menduduki peperiksaan berbanding 10,160 calon bagi tahun 2023, menunjukkan penurunan sebanyak 1,996 orang iaitu 19.6 peratus.

Bagi kategori calon sekolah KPM sahaja, analisis menunjukkan seramai 6,290 orang calon tidak hadir menduduki peperiksaan SPM 2024 berbanding 8,676 orang bagi tahun 2023, penurunan sebanyak 2,386 orang iaitu 27.5 peratus.

"Berdasarkan analisis daripada Aplikasi Pengurusan Ketidakhadiran ke Sekolah Semasa Peperiksaan, antara sebab utama ketidakhadiran calon ketika peperiksaan SPM 2024 adalah termasuk bekerja, masalah keluarga, masalah kesihatan, meninggal dunia dan berpindah ke luar negara," menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen.

Ia bagi menjawab soalan Mohd Azizi Abu Naim (PN-Gua Musang) yang ingin tahu mekanisme KPM dalam menangani kes ketidakhadiran lebih 10,000 calon peperiksaan SPM 2024 dan kesan pindaan Akta Pendidikan 1996 bagi mewajibkan pendidikan sehingga peringkat sekolah menengah diluluskan tahun ini.

Bagi menangani isu ketidakhadiran calon menduduki peperiksaan SPM, KPM melaksanakan pelbagai intervensi dan usaha berterusan antaranya memantau kehadiran murid ke sekolah secara harian, mengaktifkan Task Force Intervensi Murid Berisiko Cicir SPM pada semua peringkat, dan mengadakan Dialog Prestasi Nasional bagi membincangkan isu berkaitan kehadiran calon SPM.

Selain itu, KPM turut melaksanakan aktiviti berfokus seperti Program Ziarah Cakna, sesi konsultasi ibu bapa, permuafakatan Persatuan Ibu Bapa Guru serta Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta, selain bekerjasama erat dengan pasukan keselamatan bagi memastikan kelancaran pengendalian peperiksaan awam sepanjang musim tengkujuh atau banjir.

"KPM kini sedang melaksanakan pelbagai inisiatif penting bagi mereformasikan pendidikan negara merangkumi pelbagai fokus termasuklah menangani keciciran pembelajaran dan cadangan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Pendidikan: Pelanjutan Dasar Pendidikan Wajib dari Pendidikan Rendah hingga Pendidikan Menengah," menurut KPM.

RUU Pendidikan (Pindaan) yang dicadangkan bertujuan memastikan pendidikan wajib tidak hanya terhad kepada peringkat rendah tetapi diperluaskan hingga ke pendidikan menengah, sejajar dengan keperluan pembangunan negara dan aspirasi untuk menangani isu keciciran pelajar.

"RUU Pendidikan (Pindaan) berkaitan pelanjutan Dasar Pendidikan Wajib dari pendidikan rendah hingga pendidikan menengah ini akan dibentangkan di Parlimen setelah semua proses selesai termasuk diluluskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri," menurut kementerian itu.

-- BERNAMA