KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) hanya akan melakukan pemeriksaan telefon bimbit terhadap individu disyaki dalam sesuatu siasatan kes, kata Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Razarudin Husain.

Beliau berkata pihaknya tidak akan sewenang-wenangnya secara rambang melakukan pemeriksaan telefon bimbit orang ramai di tempat awam.

"Maksudnya mesti ada maklumat, risikan atau syak wasangka munasabah yang menunjukkan seseorang individu itu melakukan kesalahan atau jenayah. Ini menyebabkan individu itu dicurigai.

"Ia juga hanya akan dilakukan oleh pegawai polis berpangkat inspektor ke atas," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Razarudin berkata pemeriksaan hanya dilakukan jika terdapat keperluan dalam sesuatu siasatan kes, dan dilakukan berdasarkan undang-undang sedia ada serta peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata pemeriksaan untuk siasatan kes hanya akan membolehkan anggota dan pegawai pasukan itu menjalankan penugasan mereka dengan baik serta menghormati hak individu bagi mengekalkan kepercayaan awam.

Pada 13 Jan lepas, Razarudin berkata hak polis untuk memeriksa telefon bimbit orang awam sekiranya ada syak wasangka atau maklumat berhubung seseorang disyaki melakukan kesalahan, termaktub mengikut Seksyen 23 (1) Kanun Prosedur Jenayah, Seksyen 116B Kanun Prosedur Jenayah, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998, Seksyen 249 AKM dan Seksyen 20(g) Akta Polis.

Beliau berkata Seksyen 292 Kanun Keseksaan boleh digunakan jika semasa pemeriksaan dilakukan telah menemukan bahan-bahan lucah dan Akta Rumah Judi Terbuka 1953 seperti aplikasi judi dalam talian, dan kedua-dua kesalahan itu membolehkan tangkapan tanpa waran.

Pada Sabtu lepas, media melaporkan satu perjumpaan akan diadakan antara PDRM dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dalam masa terdekat bagi membincangkan isu pemeriksaan telefon bimbit orang awam oleh polis.

-- BERNAMA