Akhbar Bangkok Post melaporkan, seorang lelaki dari Buri Ram telah dikesan menghidap penyakit Evali, atau kecederaan paru-paru berkaitan rokok elektronik atau 'vape'.
Pesakit berusia 32 tahun itu dimasukkan ke Hospital Buri Ram selepas mengalami batuk berdarah.
“Kami jarang menemui kes radang paru-paru serius, dan kesihatannya merosot dengan pantas dalam tempoh 24 hingga 36 jam, hingga pesakit terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan,” kata Dr. Chayanan Sittibusaya, Pengarah Bahagian Kawalan Produk Tembakau Kementerian Kesihatan Awam Thailand.
Katanya, semua ujian termasuk COVID-19 dan RSV (virus pernafasan) didapati negatif.
"Selepas pesakit berjaya menanggalkan tiub pernafasannya, dia memberitahu doktor bahawa dia menghisap rokok elektronik sebanyak 400 sedutan setiap hari," tambahnya.
Dr. Chayanan berkata tidak jelas berapa lama lelaki itu mengamalkan tabiat merokok yang agresif.
Walaubagaimanapun, dia juga mempunyai penyakit sedia ada seperti diabetes dan tekanan darah tinggi.
Pemeriksaan fizikal mendalam mendedahkan tompokan putih pada paru-parunya.
Dr Chayanan berkata, pihaknya telah menggalakkan semua hospital untuk melaporkan kes Evali.
Ia ekoran kebimbangan penyakit tersebut akan berleluasa kerana golongan muda boleh mendapatkan akses kepada rokok elektronik dengan mudah.