JOHOR BAHRU: Polis Johor menumpaskan sindiket pengedaran dadah menggunakan peranti rokok elektronik atau vape, dengan penahanan tiga individu dalam satu operasi khas melibatkan tiga serbuan berasingan di sekitar Johor Bahru, pada Rabu hingga Khamis.


Ringkasan AI
  • Polis Johor menahan tiga individu dan merampas dadah bernilai RM2.827 juta dalam operasi khas di Johor Bahru.
  • Dadah yang dirampas termasuk serbuk ekstasi, ketamin, syabu, pil eramin 5, pil ekstasi, ganja, dan cecair disyaki dadah dalam katrij vape.
  • Sindiket ini dipercayai menyewa pangsapuri berpagar dan berpengawal untuk memproses dan membungkus semula dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
  • Kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan dua daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau.


Ketua Polis Johor Datuk CP M. Kumar berkata pihaknya merampas dadah pelbagai jenis bernilai RM2.827 juta, serta menahan dua lelaki dan seorang wanita warga tempatan berumur 27 hingga 44 tahun antara pukul 6.45 petang hingga 4 pagi.

"Dalam operasi ini kita berjaya merampas 16,345 gram (g) serbuk ekstasi, 225.0g ketamin, 68.87g syabu, 40g (140 biji) pil eramin 5, 115g (294 biji) pil ekstasi, 14.75g ganja serta 330 mililiter cecair disyaki dadah yang mengandungi 10 katrij vape serta lima botol isian semula.

"Kita juga telah menyita sebuah kereta dengan nilai sitaan RM44,000 serta wang tunai berjumlah RM160.00. Jumlah nilai rampasan dan sitaan bagi operasi ini ialah RM3,899 juta.

"Sindiket ini dipercayai menyewa pangsapuri berpagar dan berpengawal dalam tempoh pendek untuk memastikan mereka gagal dikesan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Beliau berkata sindiket yang aktif beroperasi sejak Ogos lepas itu, menggunakan pangsapuri sebagai setor dan tempat pemprosesan serta pembungkusan semula dadah, sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

Kumar berkata hasil saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine, manakala dua daripadanya mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Sementara itu Kumar dalam sidang media sama turut memaklumkan kejayaan polis menumpaskan satu lagi sindiket dadah membabitkan rampasan bernilai RM871,068, dalam satu serbuan di sekitar daerah ini pada Selasa lepas.

Kumar berkata dua lelaki dan seorang wanita tempatan berjaya ditahan dalam serbuan di sebuah pangsapuri yang dijadikan sebagai setor dan tempat pemprosesan serta pembungkusan semula dadah, sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

"Dalam operasi ini kita berjaya merampas 5.025g serbuk ekstasi, 1.65g ketamin, dan 189 mililiter cecair ekstasi bernilai RM871,068.

"Polis juga menyita dua buah kereta dengan nilai sitaan RM155,000 dan wang tunai berjumlah RM1,850. Jumlah keseluruhan nilai rampasan dan sitaan bagi operasi ialah RM1.027 juta.

Kumar berkata kesemua suspek bagi dua sindiket ini direman selama tujuh hari bermula 16 hingga 22 Okt di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan boleh juga dikenakan sebatan.

-- BERNAMA