Beliau berkata rampasan tertinggi membabitkan dadah jenis Methamphetamine iaitu sebanyak 39,397 kilogram (kg).
"Rampasan lain ialah ganja sebanyak 3,203 kg, ekstasi (2,513 kg), ketamin (946 kg), pil yaba (786 kg), pil erimin 5 (758 kg), heroin (596 kg), kokain (89 kg) dan lain-lain (301 kg). Rampasan ketum pula sebanyak 53,879 kg.
"Bagi tempoh sama, sebanyak 219 sindiket berjaya ditumpaskan melibatkan 675 tangkapan individu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah Sik di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh.
Khaw berkata sebanyak 12 makmal dadah haram berjaya dibongkar dalam tempoh sama yang membawa kepada penahanan 47 individu termasuk empat ahli kimia.
"Keseluruhan individu ditahan atas pelbagai kesalahan membabitkan dadah termasuk membekal dan memiliki adalah 248,885 dengan 719 daripadanya adalah penjawat awam.
"Bagi pertuduhan di mahkamah, kadar pertuduhan yang direkodkan adalah sebanyak 93.58 peratus, manakala nilai harta disita sebanyak RM98.1 juta selain RM11.5 juta adalah nilai harta dilucut hak akibat kesalahan dadah," katanya.
Beliau berkata Malaysia masih menjadi lokasi transit untuk dadah dihantar ke negara ketiga menggunakan kontena di pelabuhan disebabkan permintaan yang tinggi.
"Sebagai contoh, jika dadah jenis syabu bernilai antara RM33,000 ke RM35,000 untuk sekilogram di negara kita, ia boleh mencecah RM450,000 di negara lain. Jadi dengan jumlah itu, tidak mustahil negara kita akan terus menjadi lokasi transit bahan ini," katanya.
-- BERNAMA
