BEIJING: China terus menyaksikan peningkatan jumlah pelancong asing berikutan siri dasar kemasukan yang diperkenalkan, menurut Pentadbiran Imigresen Kebangsaan (NIA) pada Isnin, lapor Xinhua.

Dalam tujuh bulan pertama tahun ini, jumlah pelawat asing ke China melonjak 129.9 peratus tahun ke tahun kepada 17.25 juta, kata Timbalan Ketua NIA Liu Haitao, dalam sidang media.

Sementara itu, sebanyak 341 juta perjalanan rentas sempadan direkodkan, meningkat 62.34 peratus daripada tempoh yang sama tahun lepas.

Pelancong asing dianggarkan meningkatkan penggunaan kepada lebih 100 bilion yuan (kira-kira US$14 bilion) secara keseluruhan, dengan jumlah penggunaan purata harian per kapita hampir 3,500 yuan, kata Liu.

Dalam tempoh itu, 846,000 visa pelabuhan telah dikeluarkan kepada warga asing yang mempunyai keperluan mendesak untuk memasuki China tetapi tidak mempunyai masa yang cukup untuk memohon visa di kedutaan atau konsulat China di luar negara. Angka itu meningkat 183 peratus tahun ke tahun.

Mengenai visa pelabuhan, NIA berkata warga asing boleh mengemukakan permohonan terlebih dahulu kepada pihak berkuasa visa pelabuhan sendiri atau melalui pihak yang menjemput, atau memohon di tapak semasa tiba di pelabuhan di China.

Liu berkata pihak berkuasa imigresen China telah meningkatkan usaha untuk menjadikan pelepasan kastam "lebih mudah" dan rantaian bekalan rentas sempadan "lebih cekap", memendekkan masa untuk pemeriksaan kastam dan menyediakan saluran keutamaan untuk penerbangan kargo utama.

Sejak awal tahun ini, China telah memperluas dasar bebas visanya, melonggarkan keperluan permohonan visa dan prosedur yang dipermudahkan, mengecualikan pemeriksaan sempadan untuk penumpang transit tertentu dan menjadikan perkhidmatan pembayaran mudah alih lebih mudah untuk warga asing.

Dalam usaha terbarunya, NIA mengumumkan pada Julai, dasar yang membenarkan orang dari negara yang mempunyai hubungan diplomatik dengan China melawat wilayah pulau selatan Hainan tanpa visa selama 144 jam melalui kumpulan pelancongan yang berdaftar di wilayah pentadbiran khas Hong Kong dan Macao.

Awal Julai, NIA berkata bahawa dasar transit tanpa visa 144 jam negara itu telah diperluaskan kepada tiga lagi pelabuhan masuk, menjadikan bilangan pelabuhan yang dilindungi oleh dasar itu kepada 37.

Berkat usaha ini, China telah menjadi destinasi popular untuk pelancong luar negara. Dengan lebih ramai orang menyiarkan pengalaman perjalanan mereka di China dalam media sosial, "China Travel" telah menjadi istilah carian teratas di pelbagai platform media sosial global.

Pelawat China kali pertama, George, 65, dari Amerika Syarikat, berkata bahawa beliau paling kagum dengan pengangkutan yang sangat mudah, warisan sejarah yang kaya dan pemandangan yang unik.

Noelia dan Max, pasangan muda dari Mexico, malah berpakaian kostum etnik Miao untuk mengadakan majlis perkahwinan tradisional di Guilin, sebuah bandar yang indah di Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, yang terkenal dengan bukit karst, sungai dan guanya. Video perkahwinan, yang mereka muat naik dalam talian selepas itu, mencapai 300 juta penonton dalam masa 48 jam.

Zhou Xiaoguang, Pengurus Besar Guilin Tang Dynasty Tours Co. Ltd, berkata perniagaan syarikat pada separuh pertama tahun ini melonjak lebih lima kali ganda berbanding tahun lepas.

"Kami melihat semakin ramai orang asing dan dalam beberapa kes, kami kekurangan pemandu pelancong yang boleh berbahasa asing," katanya.

-- BERNAMA