Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM) memberi respons kepada 99,830 panggilan kecemasan seluruh negara sepanjang tahun lepas, jumlah tertinggi dicatatkan sehingga kini.

Ketua Pengarahnya Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata jumlah itu meningkat 42 peratus berbanding 2013 iaitu pihaknya hanya mencatat 68,749 panggilan.

"Ini bermakna kami bekerja hampir dua kali ganda lebih kuat pada tahun lepas," katanya ketika memberi ucapan pada majlis penyampaian Pingat Kebesaran Bomba, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Sijil Perkhidmatan Terpuji JBPM Kuala Lumpur 2014, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah JBPM Kuala Lumpur Khirudin Drahman.

Sambil mengucapkan syabas kepada anggota bomba, Wan Mohd Nor berkata peningkatan respons panggilan itu pada tahun lepas disumbang dua kejadian besar, iaitu musim kemarau pada penghujung Februari hingga April dan banjir besar yang berlaku di negeri pantai timur pada penghujung tahun.

"Kecekalan anggota, mendahulukan tugas walaupun ada antara mereka sendiri yang terlibat ketika banjir besar tahun lepas bukan setakat kami hargai, malah turut diberi penghargaan rakyat, dan jemaah menteri," katanya.

Justeru, Wan Mohd Nor berharap pencapaian dan rekod baik keseluruhan anggota bomba sehingga kini dapat dikekalkan.

Terdahulu, Khirudin dalam ucapannya berkata pencapaian JBPM bukan secara tidak sengaja, tetapi melalui perancangan rapi dan sokongan komuniti.

Beliau berkata menuju ke hadapan, beliau mahu JBPM lebih dekat dengan masyarakat melalui pelbagai aktiviti komuniti yang telah dirancang.

Sementara itu, mengulas mengenai majlis berkenaan, Wan Mohd Nor ketika ditemui media berkata lapan peratus daripada keseluruhan 980 anggota JBPM Kuala Lumpur menerima penghargaan.

Beliau berkata para penerima dipilih berdasarkan prestasi kerja, sikap, semangat kerjasama dan sumbangan ekstra kurikulum.

Antara penerimanya, termasuk Ketua Balai Titiwangsa Roslan Sidek dan Ketua Balai Wangsa Maju Che Shaari Abdullah yang menerima Pingat Jasa Bomba. Lima anggota dianugerah Pingat Setia Bomba, lapan (Pingat Cemerlang Bomba) dan 73 (Anugerah Perkhidmatan Cemerlang).