ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Rabu, 25 Oktober 2023.


1. Polis tahan tiga beranak warga Rohingya terlibat pecah rumah

Polis Terengganu menahan seorang wanita warga Rohingya dan dua anak perempuannya dipercayai terlibat kes pecah rumah di sekitar daerah Kemaman.



2. TMJ sahkan bakal tandatangani pemain bertaraf bintang

Pemilik Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengesahkan, pemain bertaraf bintang bakal memperkuatkan skuad JDT menjelang musim 2024.


3. Wan Saiful didakwa atas 18 pertuduhan pengubahan wang haram

Bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Wan Saiful Wan Jan, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini, atas 18 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM5.59 juta.


4. Penduduk gempar cahaya hijau terangi langit

Penduduk di Sungai Besar gempar menyaksikan fenomena sebahagian langit disinari warna hijau pada malam Selasa.


5. 'Jangan gentar dengan ancaman Eropah' - PM Anwar

Perdana Menteri berpendapat Malaysia tidak perlu gentar dengan ugutan pihak Eropah berikutan kelantangan suara negara ini dalam menyuarakan nasib rakyat Palestin.


6. Bayi perempuan maut tertinggal dalam kereta

Seorang bayi perempuan berusia setahun ditemui meninggal dunia selepas dipercayai ditinggalkan di dalam kereta di sebuah universiti awam di Kuala Nerus semalam.



7. Akta 164 bolehkan Menteri Dalam Negeri daftar perkahwinan pasangan bukan Islam - JPN

Menteri Dalam Negeri selaku menteri yang bertanggungjawab bagi pendaftaran perkahwinan sivil boleh melakukan pendaftaran perkahwinan pasangan bukan Islam selaras dengan Akta 164.


8. Ahli Parlimen sebak kenang tekanan dihadapi pembeli kediaman 'projek sakit'

Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan tidak dapat menahan sebak mengenang tekanan yang dihadapi 2,400 pembeli kediaman Rumawip, Residensi Hektar Gombak, yang kini menjadi projek sakit.


9. Kedudukan wanita perlu dianggap setaraf dengan lelaki untuk bangunkan negara - Tun M

Kedudukan wanita dalam masyarakat perlu dianggap setaraf dengan lelaki kerana golongan itu juga memainkan peranan penting dalam membangunkan negara, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.


10. 1MDB: Kekalkan atau tarik balik 3 pertuduhan, kata peguam Najib

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah meminta pihak pendakwaan di dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak supaya mengekalkan atau menarik balik tiga pertuduhan melibatkan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram, daripada memindanya.