Tinjauan Sinar Harian mendapati di sepanjang jalan di kampung itu kelihatan banyak sangkar kucing ditempatkan di kawasan tersebut.
Pekerja kedai baju, Siti Suraya Othman, 21, berkata, setiap hari tiga kali dia meredah banjir sedalam 0.3 meter semata-mata untuk memberikan makan kepada kucing miliknya.
"Saya mempunyai sembilan ekor kucing, di mana lima darinya adalah masih lagi bayi berusia sebulan.
"Sudah tiga hari kami terpaksa berpisah dan hanya mampu berdoa mereka dapat bertahan dalam keadaan cuaca begini tanpa pengawasan," katanya.
Menurut Siti Suraya, melihat kepada keadaan air yang tidak surut serta bakal berdepan banjir termenung dijangka mereka terpaksa tinggal di pusat pemindahan sementara (PPS) lebih dari seminggu lagi.
Katanya, mujurlah bekalan makanan telah disediakan secukupnya untuk si bulus selain berharap tiada lagi hujan dan air cepat surut.
Kebanyakan penduduk di sini ditempatkan di PPS Masjid Mukim Padang Licin.
Setakat Isnin seramai 116 orang melibatkan 45 keluarga dipindahkan ke PPS tersebut. - Sinar Harian