TNB Careline melalui laman Facebooknya memaklumkan langkah penutupan bekalan oleh pihaknya itu adalah demi keselamatan pengguna setempat.
"Setakat ini kawasan yang terlibat di Kota Bharu adalah G-Orange, Sekolah Kebangsaan Kadok, Taman Sri Kulim, Pusat Usahawan Melor,Taman Jaza dan Perumahan Hutan Pasir," menurut TNB.
Selain itu kawasan Pasir Puteh yang ditutup bekalan melibatkan DPS 9-12, BELB Sungai Gali, Kilang Bata Tasek Pauh dan Yik Tualang Tinggi.
Bagi Tanah Merah kawasan yang terlibat adalah Manal 1 dan 3, Manal Baru dan Kilang Kayu Manal sementara di Machang membabitkan Kampung Tandak, Machang Indah, Limau Hantu, Taman Sri Kelaweh, Taman Setia Kasih, LPT Tok Coba dan Wakaf Indah.
Penutupan bekalan elektrik di Pasir Mas pula melibatkan kawasan Prima Lubok Jong 1-3, Taman Desa Wirajaya 1-3, Kusar, Danau dan Serendah manakala di Bachok membabitkan Wakaf Aik serta Taman Warisan di Kuala Krai.
Dalam kenyataan sama, TNB memaklumkan jika banjir semakin bertambah buruk, berisiko serta membahayakan keadaan, penutupan bekalan akan dilakukan di pencawang elektrik yang terlibat bagi memastikan keselamatan pengguna setempat terpelihara.
Sehubungan itu, TNB menasihatkan orang ramai agar sentiasa waspada dengan hujan lebat dan keadaan berisiko banjir dengan menjauhi pepasangan elektrik yang terendam air banjir kerana dikhuatiri berlakunya kebocoran arus.
-- BERNAMA