TUMPAT: Walaupun beberapa rumah di kawasan sini ditenggelami air sedalam hingga hampir 1.3 meter (m), ia tidak menghalang kira-kira 20 penduduk daripada kampung sekitar Mukim Bendang Pak Yong, di sini untuk menunaikan solat berjemaah di masjid.

Bot dijadikan alternatif kepada mereka untuk sampai ke satu-satunya masjid di mukim berkenaan, yang menjadi antara premis di kampung itu yang masih selamat daripada banjir ketika ini.

Masjid As Solihin yang mampu memuatkan sehingga 500 jemaah itu dibina sedikit tinggi, menyebabkan ia tidak dinaiki air walaupun kawasan sekitarnya telah lima hari digenangi air.

Mukim berkenaan terletak kira-kira 45 minit perjalanan dari Kota Bharu, merupakan kawasan terkesan banjir di Kelantan yang sehingga petang ini menyaksikan seramai 18,924 mangsa daripada 6,182 keluarga dipindahkan ke PPS.

Siak masjid Che Ab Rahman Che Mamat, 73, berkata beliau asalnya ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat, namun disebabkan kekurangan jemaah, ia ditukarkan kepada solat Zohor secara berjemaah.

"Walaupun dalam keadaan darurat ketika ini disebabkan banjir, jika ada kesempatan saya cuba juga untuk (solat) berjemaah. Niat tadi nak solat Jumaat, tapi tak mengapa sebab kita masih dapat juga solat berjemaah di sini. Kita faham keadaan sekarang ramai yang terjejas dengan banjir," katanya kepada Bernama.
LAPORAN KOMPREHENSIF BANJIR 2022 DI SINI 




Anaknya Faiz Che Ab Rahman, 25, penyelia tapak pembinaan berkata, beliau dan bapanya sengaja datang awal untuk membersihkan masjid bagi memudahkan jemaah menunaikan solat.

"Kampung ini memang selalu banjir. Kejadian benteng projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok di Kampung Tersang yang pecah telah memburukkan lagi keadaan.

"Walau sudah hampir seminggu, tapi air surut perlahan. Tapi orang kampung memang sudah bersedia untuk hadapi banjir," katanya.

Imam masjid, Anwar Daud, 55 berkata walaupun masjid itu berada pada kedudukan yang sedikit tinggi, namun langkah berjaga-jaga tetap diambil bersama orang kampung untuk menggulung tikar dan mengalih barang yang penting ke tempat selamat untuk meminimumkan kerosakan sekiranya ia dinaiki air.

-- BERNAMA