AYER KEROH: Seorang guru lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua murid perempuan Tahun 6, minggu lalu.

Tertuduh, Mohd Azhar Mohamad, 44 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus dua  pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Mengikut pertuduhan pertama, bapa kepada tiga anak itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dengan cara menyentuh payudara mangsa.

Tertuduh turut melakukan perbuatan seksual sama terhadap seorang lagi murid lain berusia 12 tahun dengan dengan cara menyentuh payudara dan kemaluan mangsa.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah sekolah rendah di dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 9.30 pagi, 8 Jan lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Yusof mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 bagi setiap pertuduhan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jaminan rendah memandangkan dia masih menanggung ibu serta tiga anak berusia 7, 11 dan 13 tahun yang masih bersekolah.

Hakim Rohatul Akmar pada penghakimannya kemudian membenarkan jaminan masing-masing RM11,000 dan RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Beliau turut menetapkan syarat tambahan untuk tertuduh tidak mengganggu mangsa yang juga saksi pendakwaan selain melaporkan diri setiap bulan di balai polis berhampiran.

Mahkamah turut menetapkan 17 Feb sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Media pada 9 Jan lalu melaporkan seorang guru ditahan polis selepas disyaki mencabul dua muridnya berusia 12 tahun dalam rumah hantu karnival sekolah.

Pemangku Ketua Polis Melaka Datuk Md Nazri Zawawi berkata, kejadian terbongkar apabila dua murid Tahun 6 sekolah terbabit datang bertemu guru besar sekolah, dalam keadaan takut dan menangis.

Mangsa menceritakan, suspek ‘mengumpan’ dua kanak-kanak itu dengan mengajak mereka masuk ke rumah hantu sekolah kira-kira pukul 10 pagi sebelum bertindak mencabul mereka.

Hasil ujian awal saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine (syabu).