Ringkasan AI
- Datuk Seri Azalina Othman Said menyatakan bahawa permohonan perintah larangan bersuara (gag order) tidak wajar dilakukan kerana isu ini sudah menjadi domain awam dan akan dibincangkan semula di Parlimen bulan depan.
- Najib Razak berjaya mendapat kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum. Panel tiga hakim membenarkan rayuan Najib dengan majoriti 2-1.
- Mahkamah memerintahkan supaya kes ini dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk merit semakan kehakiman diputuskan. Azalina menekankan bahawa kewujudan adendum sudah terbukti dan akan melalui proses seterusnya di Mahkamah Tinggi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata isu itu akan dibincangkan semula di Parlimen ketika bersidang pada bulan depan.
"Pendapat peribadi saya, saya rasa tidak wajar ada perintah larangan bersuara, kerana pertama, perkara ini sudah menjadi domain awam. Kedua, Parlimen akan bersidang bulan depan, jadi semua ini mungkin akan dibangkitkan semula.
"Tetapi saya rasa, untuk keadilan, mungkin Jabatan Peguam Negara (AGC) ada alasan perundangan mereka dan mereka ingin mengemukakan perkara ini ke Mahkamah dan biar Mahkamah yang membuat keputusan.
"Kita perlu menghormati keputusan Mahkamah. Itu adalah kenyataan saya," katanya.
Azalina berkata perkara terpenting ialah kewujudan adendum yang sudah terbukti dan akan melalui proses seterusnya di Mahkamah Tinggi.
Terdahulu, media melaporkan Najib berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Azizah Nawawi yang bersidang bersama Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril dengan majoriti 2-1, membenarkan rayuan Najib, 72, untuk mendapatkan kebenaran itu.
Ketika membaca keputusan terbabit, Mohd Firuz berkata, mahkamah memerintahkan supaya kes terbabit diremitkan atau dikembalikan ke Mahkamah Tinggi supaya merit semakan kehakiman berkenaan diputuskan.