Kejadian berlaku kira-kira jam 4.16 pagi tadi sewaktu bas yang membawa rombongan dari Seremban sedang dalam perjalanan menuju ke Sungai Petani, Kedah.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang kejadian dipercayai berlaku apabila bas yang membawa 24 penumpang terbabit merempuh bahagian belakang sebuah treller yang berada di laluan sama.
"Terdapat 23 mangsa, termasuk dua pemandu bas, mengalami kecederaan manakala tiga lagi mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Tindakan anggota ialah melakukan kerja-kerja mengeluarkan kesemua mangsa di dalam bas dan memberi rawatan awal oleh pasukan EMRS. Tiada mangsa tersepit" katanya.
Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sungai Bakap dan Hospital Seberang Jaya oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia dan St John Ambulance untuk menerima rawatan, tambahnya.
Katanya, dua mangsa dirawat di zon merah, sembilan mangsa dirawat di zon kuning manakala 12 lagi mangsa menerima rawatan di zon hijau.
Mangsa yang selamat diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia untuk tindakan selanjutnya.
Insiden berkenaan menyebabkan kesesakan lalu lintas teruk di laluan lebuh raya tersebut.
Difahamkan, bas persiaran itu dalam perjalanan membawa rombongan jemaah surau mengikuti program di Murtadha Dakwah Centre (MADAD), Sungai Petani, Kedah.