KUALA LUMPUR: Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) mencadangkan peruntukan 3,000 liter kuota sebulan bagi setiap unit subsidi diesel kenderaan kepada pemain industri pelancongan.


Ringkasan AI
  • Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) mencadangkan kuota 3,000 liter subsidi diesel sebulan bagi setiap kenderaan pelancongan untuk meringankan beban kewangan akibat kenaikan harga diesel.
  • Kenaikan harga diesel sebanyak 54% kepada RM3.35 seliter telah memberi kesan besar kepada kos operasi van dan bas pelancongan, menyukarkan industri untuk mengekalkan harga yang kompetitif dan perkhidmatan berkualiti.
  • MATTA menekankan kepentingan subsidi bahan api dalam menghadapi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), dengan sasaran menarik 35.6 juta pelancong asing, untuk memastikan daya saing industri dan kejayaan kempen tersebut.


Presiden MATTA, Nigel Wong berkata, peruntukan itu akan sangat membantu meringankan beban kewangan yang disebabkan oleh kenaikan harga diesel sekali gus memastikan industri pelancongan terus berdaya saing.

Menurutnya, pengumuman baru-baru ini mengenai penamatan rasionalisasi dasar subsidi dan kenaikan harga diesel yang berikutnya telah memberi kesan ketara kepada pengusaha van dan bas pelancongan.

"Sebelum pelarasan harga ini, analisis kami menunjukkan bahawa van dan bas pelancongan menggunakan sejumlah besar bahan api setiap bulan dengan kos kini meningkat sebanyak 54 peratus disebabkan oleh harga diesel baharu RM3.35 seliter.

"Peningkatan ini telah menyebabkan beban kewangan yang besar kepada sektor kami dan mencabar keupayaan untuk mengekalkan harga yang kompetitif serta menyampaikan perkhidmatan berkualiti tinggi kepada pelancong antarabangsa dan domestik," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah beliau, pihaknya memahami objektif Kerajaan Madani dan menyokong sepenuhnya namun industri memerlukan masa untuk menyesuaikan diri memandangkan kewajipan kontrak yang dimiliki oleh ramai ejen.

Nigel turut menekankan kepentingan subsidi bahan api sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) yang akan datang.

"Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) menyasarkan untuk menarik 35.6 juta pelancong asing ke Malaysia. Jadi subsidi bahan api adalah penting untuk mengurangkan tekanan kewangan kepada pengendali, menyokong daya saing sekali gus memastikan kejayaan kempen.

"Kami percaya bahawa industri ini akan lebih bersedia untuk menyumbang kepada ekonomi Malaysia sekiranya kerajaan melaksanakan langkah-langkah tersebut," jelasnya. - Sinar Harian