KOTA KINABALU: Menteri Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali mengesahkan menerima writ saman daripada dua individu berkaitan penarikan subsidi diesel di Semenanjung dan pengecualian subsidi itu terhadap Sabah dan Sarawak.


Ringkasan AI
  • Writ saman diterima: Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Datuk Armizan Mohd Ali, mengesahkan menerima writ saman berkaitan penarikan subsidi diesel di Semenanjung dan pengecualian subsidi di Sabah dan Sarawak.
  • Asas saman: Saman tersebut mendakwa ketidakadilan dan diskriminasi kerana subsidi diesel tidak dilaksanakan serentak di seluruh negara.
  • Penjelasan kerajaan: Kerajaan menjelaskan bahawa pelaksanaan subsidi diesel di Semenanjung Malaysia dilakukan terlebih dahulu untuk menilai keberkesanannya sebelum diperluaskan ke Sabah dan Sarawak, dengan mengambil kira keperluan dan keadaan unik di kedua-dua negeri tersebut.


Ahli Parlimen Papar itu berkata, tuntutan saman itu juga turut diberikan kepada empat pihak yang lain termasuk kerajaan Persekutuan.

"Saya menerima surat saman itu kira-kira tiga minggu lepas dan kita akan panjangkan, akan bincang dengan Jabatan Peguam Negara untuk tindakan yang selanjutnya.

"Yang disaman adalah Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan, Menteri KPDN, Menteri Pengangkutan dan Menteri Ekonomi serta kerajaan Persekutuan.

"Asas saman itu adalah kerana kita dianggap tidak adil, kita dianggap diskriminasi kerana tidak melaksanakan penyasaran semula subsidi diesel itu di seluruh negara secara serentak," katanya kepada pemberita ketika melakukan tinjauan persiapan penganjuran Program Madani Rakyat 2024 Sayangi Sabah di pekarangan Kompleks Sukan Likas, di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tular kenyataan beliau dan juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar antara individu yang disaman.

Bagaimanapun, Armizan berkata, itu hak mereka untuk membawanya ke mahkamah namun ia adalah polisi kerajaan yang diputuskan bersandarkan fakta.

"Faktanya, kita laksanakan di Semenanjung Malaysia, belum lagi di Sabah dan Sarawak kerana kita ingin melihat dulu perlaksanaan di Semenanjung Malaysia.

"Yang kedua, kita melihat Sabah dan Sarawak ini penggunaan kenderaan bahan api diesel ini sebahagian besarnya bukanlah disebabkan oleh kehendak mahu guna, tetapi kerana keperluan.

"Sebabnya, keadaan infrastruktur jalan raya dan geografi kita yang menuntut orang di Sabah dan Sarawak perlu untuk menggunakan kenderaan bahan api diesel dan yang paling penting juga yang orang tidak faham ini mungkin adalah curang harga barang dan perkhidmatan yang cukup jauh di antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak.

"Jadi ini mereka kena faham kerana harga ayam, daging, perkhidmatan berbeza walaupun sebenarnya gaji kalau kerja dalam sektor awam sama, tapi kita terbeban di Sabah dan Sarawak ini dengan jurang harga yang tinggi berbanding Semenanjung, jadi kita harap bahawa mereka memahami," katanya.

Beliau turut menolak pelaksanaan penyasaran subsidi itu adalah sebagai tindakan diskriminasi terhadap pihak tertentu.

"Namun apapun kita akan jawab kerana ia bukanlah diasaskan kepada tindakan diskriminasi, jauh sekali. Kerajaan ini dibina oleh ahli-ahli Parlimen dari seluruh negara, malah Perdana Menteri pun daripada Semenanjung Malaysia.

"Tidak ada hasrat beliau untuk mendiskriminasikan orang-orang di kawasan Parlimen beliau sendiri dan yang paling penting adalah ia dilaksanakan kerana melihat keadaan yang unik berlaku di Sabah, Sarawak dan juga di Wilayah Persekutuan," katanya.

Bagaimanapun, ketika ditanya berapa nilai tuntutan saman tersebut, Armizan memaklumkan tidak mengingati nilainya tetapi mengakui ia melibatkan nilai jutaan ringgit. -- Sinar Harian