KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan belum menerima writ saman daripada dua individu berhubung dakwaan diskriminasi dalam langkah kerajaan mengecualikan Sabah dan Sarawak daripada subsidi diesel.

Kata Loke, beliau hanya mengetahui tentang perkara itu melalui kenyataan yang dikeluarkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali, pada Sabtu.

“Kalau dia fail saman, apa boleh buat, kita hadapi sajalah. Saya belum dimaklumkan lagi, saya pun dapat tahu melalui kenyataan Armizan semalam iaitu terdapat empat orang disaman, tetapi setakat ini saya belum terima writ.

“Tetapi saya mengambil tanggungjawab sebagai menteri, kalau dia nak saman, itu hak dia.

“Kita jumpa di mahkamah,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Konvensyen Biasa Negeri DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2024, pada Ahad.

Semalam, Armizan mengesahkan telah menerima writ saman berhubung pengecualian penyasaran subsidi diesel bagi Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata saman itu diterima tiga minggu lalu dan pihaknya akan berunding dengan Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi di sini oleh Azhani Marlan@Abd Halim dan Mohd Hatta Sanuri, masing-masing sebagai plaintif pertama dan kedua.

Mereka menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai perdana menteri dan menteri kewangan, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, Armizan, Loke dan kerajaan sebagai responden pertama hingga keenam.