Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, ia dapat dibuktikan melalui peningkatan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) pada tahun depan.
"Penjimatan kerajaan ini akan memastikan terdapat lebih banyak sumber untuk disalurkan dalam sektor kritikal lain untuk tingkat kualiti hidup rakyat termasuk infrastruktur awam, penjagaan kesihatan dan pendidikan.
"Sudah tentu antaranya jalan raya, hospital dan sekolah. STR dan SARA bagi 2025 turut ditingkatkan berbanding tahun 2024," katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan yang menyoal penjimatan kerajaan hasil daripada keputusan menarik balik subsidi diesel.
Hui Ying turut menjawab soalan tambahan Mohammad Fawwaz mengenai rancangan kerajaan untuk pelaksanaan penyasaran subsidi diesel di Sabah dan Sarawak.
Katanya, sebahagian besar mod pengangkutan untuk kegiatan ekonomi di sana yang menggunakan diesel serta keadaan geografi menjadi dua faktor utama ia belum dilaksanakan.
Jelas beliau, ia mungkin dilaksanakan selepas kerajaan selesai membuat kajian untuk mengatasi permasalahan berkenaan agar sebarang keputusan tidak membebankan rakyat.
Menjawab soalan Azli Yusof (PH-Shah Alam) yang menyoal berkenaan kelemahan pelarasan subsidi diesel, Hui Ying berkata, kerajaan mengakui kekurangan berkenaan namun pemantauan ketat tetap dilaksanakan.
“Kerajaan akui wujud kelemahan, sebab itu kita masih juga dalam proses libat urus bersama pemegang saham dan pemain industri untuk lakukan penambahbaikkan. Namun sekarang masih lagi kurang daripada enam bulan pelarasan ini dilaksanakan, jadi kita akan terus memantau dari masa ke semasa,” ujarnya.