Namun hari ini, senyuman terukir di wajah bekas pengawal keselamatan berusia 42 tahun itu apabila dia dibebaskan lebih awal menerusi program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan MADANI yang membolehkannya meraikan Krismas bersama ahli keluarga terutama dua anaknya yang berusia lapan serta 14 tahun.
"Saya dipenjarakan kerana kesalahan dadah awal tahun ini dan sepatutnya dibebaskan Januari depan, namun saya bersyukur dapat keluar lebih awal dan Krismas pada tahun ini sudah pasti menjadi sambutan yang paling gembira untuk kami sekeluarga.
"Saya mahu menjadi insan yang lebih baik kepada ibu, isteri dan anak-anak, saya juga berjanji dengan mereka tidak mahu perkara ini berulang," katanya kepada pemberita selepas program PBSL Ihsan MADANI 'Kepulangan Yang Dinanti' sempena Krismas di Dewan Penjara Reman Pulau Pinang, di sini hari ini.
Pada program itu, sebanyak 38 prospek atau banduan di Penjara Reman Pulau Pinang dan Penjara Seberang Perai dibebaskan dengan disaksikan Pengarah Penjara Pulau Pinang Abd Rauf Lang Pasih.
Menjemput Ravi di dewan penjara ibunya, dikenali sebagai Devi, 70, yang bersyukur kepulangan anak lelaki tunggalnya ke pangkuan keluarga berlaku menjelang sambutan Krismas minggu depan.
Warga emas itu yang sudah berkira-kira mahu memasak pelbagai juadah yang sinonim dengan Krismas termasuk ayam belanda berkata, lebih penting anaknya itu berjanji untuk berubah menjadi insan yang lebih baik selain mahu memanfaatkan peluang dibebaskan awal dengan sebaik-baiknya.
"Sebagai seorang ibu sudah pasti saya gembira Ravi bebas lebih awal, jadi Krismas minggu hadapan lebih bermakna buat kami dan saya akan memasak hidangan istimewa bagi meraikannya," katanya yang percaya pengalaman di penjara mampu menginsafkan anaknya itu.
Sementara itu, Abdul Rauf berkata 372 banduan telah terpilih untuk mengikuti program PBSL Ihsan MADANI di Pulau Pinang sepanjang tahun ini.
Beliau berkata statistik menunjukkan hanya 0.4 peratus bekas banduan yang dibebaskan menerusi program itu kembali semula ke penjara manakala yang lain mendapat sokongan baik masyarakat dan diambil bekerja oleh majikan.
Dalam pada itu, seorang majikan Mohd Nor Zulkhairee Md Akhir, 36, berkata dia sekali lagi mengambil empat prospek menerusi program PBSL Ihsan MADANI untuk bekerja di kedai mencuci kereta miliknya setelah mengambil langkah sama Mei lepas.
"Sebenarnya selepas kita memberi tunjuk ajar serta arahan yang sepatutnya..mereka (prospek) boleh buat kerja dengan baik sebab itu ada antara mereka sebelum ini terus bekerja dengan saya," katanya.
-- BERNAMA