TEL AVIV: Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus, pada Isnin menuntut Israel membebaskan seorang pakar klinikal terkemuka yang ditahan di Gaza, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Pengarah Hospital Kamal Adwan di utara Gaza, Hussam Abu Safia, mesti dibebaskan dengan serta-merta, kata Ghebreyesus dalam satu kenyataan di platform X.

Hospital itu kini tidak beroperasi berikutan serangan Israel, pemindahan paksa pesakit dan kakitangan perubatan serta penahanan pengarah hospital, kata ketua WHO itu.

"Hospital di Gaza sekali lagi menjadi medan pertempuran dan sistem kesihatan sedang berdepan ancaman yang amat serius," tulis Ghebreyesus.

-- BERNAMA