PUTRAJAYA: Pendengaran rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad daripada tiga pertuduhan rasuah membabitkan RM2.8 juta berkaitan pelaburan Felcra Bhd, yang dijadualkan hari ini ditangguhkan ke 9 Okt depan.


Ringkasan AI
  • Pendengaran rayuan terhadap pembebasan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad dalam kes rasuah RM2.8 juta ditangguhkan ke 9 Okt.
  • Penangguhan dibuat kerana peguam utama Bung Moktar, M. Athimulan, tidak sihat dan perlu mendapatkan rawatan lanjut di Singapura.
  • Bung Moktar didakwa atas dua pertuduhan rasuah berkaitan pelaburan Felcra Bhd, manakala Zizie Izette didakwa bersubahat dengan beliau.


Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Hashim Hamzah dan Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh baharu itu selepas peguam Datuk Seri K.Kumaraendran memaklumkan kepada mahkamah bahawa peguam M. Athimulan yang mewakili Bung Moktar, tidak dapat hadir pada prosiding hari ini berikutan tidak sihat kerana mengalami masalah jantung.

"Peguam Athimulan berada dalam keadaan tidak sihat sejak 10 Julai lepas ketika berada di India dan beliau telah mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Tamil Nadu dan pulang ke Malaysia pada minggu lepas.

"Bagaimanapun, beliau (Athimulan) dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan lanjut di Singapura kerana pernah mendapat rawatan di sana," kata Kumaraendran yang mewakili Zizie Izette.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Law Chin How pula berkata pihak pendakwaan tidak membantah permohonan penangguhan itu, namun pihaknya bersedia sekiranya mahkamah ingin meneruskan prosiding pada hari ini.

"Hari ini ditetapkan untuk pendengaran rayuan dan pihak kami telah memfailkan semua hujahan berkaitan kes," kata Law yang turut mengendalikan kes bersama TPR Mohamad Fadly Mohd Zamry.

Terdahulu, Hakim Ahmad Zaidi berkata mahkamah mengambil maklum keadaan kesihatan Athimulan namun tarikh yang disarankan pihak pendakwaan dan pembelaan pada November adalah terlalu lama.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu dan isterinya dibebaskan pada 7 Sept tahun lepas setelah Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan semakan mereka terhadap keputusan Mahkamah Sesyen pada 2 Sept 2022 yang memerintahkan pasangan tersebut membela diri. Pendakwaan memfailkan rayuan pada 18 Sept tahun lepas.

Bung Moktar, 64, yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra, didakwa pada 3 Mei 2019 atas dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan agensi berkenaan supaya melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Beliau didakwa menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid melalui Zizie Izette di Public Bank Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang pada 12 Jun 2015.

Bung Moktar turut didakwa menerima wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah Norhaili Ahmad Mokhtar atas nama Zizie Izette untuk sebab dan tempat sama pada 19 Jun 2015 manakala Zizie Izette didakwa bersubahat dengan beliau melakukan perbuatan itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.

-- BERNAMA