Media sosial merupakan antara platform yang penting dalam era ini untuk menyebar maklumat dan berita.

Warga media sosial, atau netizens, sering diingatkan untuk menjadi seorang pengguna yang bertanggungjawab.

Namun, ada dikalangan mereka yang sanggup menyebarkan berita dan tweet palsu semata-mata untuk menjadi popular. Adakah ini peluang untuk meraih populariti dan perhatian agar maklumat itu dijadikan viral?

Perbuatan demikian tentu sekali mempunyai implikasi kepada pelbagai pihak.

Bagaimana menghasilkan tweet palsu

Terdapat pelbagai laman web dan aplikasi yang boleh menghasilkan tweet palsu.

Menerusi eksperimen wartawan Astro AWANI, laman web berkenaan begitu mudah untuk digunakan.

Pengguna hanya perlu tulis akaun mana yang mahu digunakan (ia terbuka kepada akaun Twitter sesiapa sahaja dan gambar profil terkini akan digunakan), mesej yang ingin ditulis, jumlah ‘Retweet’ dan ‘Favorite’ dan juga tarikh tweet berkenaan.

Ada beberapa faktor yang menyebabkan tweet palsu untuk tidak kelihatan seperti tweet asli.

Contohnya, ia tidak dapat menghasilkan tanda biru ‘verified’ yang dimiliki akaun Twitter Astro AWANI.

Jumlah ‘Retweet’ dan ‘Favorite’ juga tidak mempunyai koma jika ia mencecah empat angka atau lebih.

Namun, dengan penggunaan Photoshop, beberapa perubahan dapat dilakukan untuk menghasilkan tweet yang kelihatan seperti asli.

Kes-kes tweet palsu dan Astro AWANI

Tweet yang palsu dan mempunyai maklumat yang tidak tepat, bukan sahaja menjejaskan pemilik akaun asal, namun akan menyebabkan kekeliruan dikalangan masyarakat.

Kami di Astro AWANI tidak terkecuali dengan situasi ini.

Pada Khamis, orang ramai dikelirukan dengan imej tweet palsu yang tersebar berkenaan peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tweet Palsu
PALSU! Astro AWANI tidak bertanggungjawab dalam memuat naik tweet seperti yang tertera.

Pada Disember 2014, satu tweet palsu yang menggunakan nama Astro AWANI mendakwa bahawa semua tiket perlawanan akhir Piala AFF Suzuki yang dibeli secara online melalui TicketHotline adalah dibatalkan.

Pada Mac 2014, akaun palsu @astroawani telah menulis satu tweet berbaur perkauman sekaligus mendapat reaksi negatif masyarakat.

Twitter
PALSU! Akaun Twitter rasmi Astro AWANI adalah @501awani.

Sementara itu, ahli politik juga tidak terkecuali dengan situasi ini.

Pada 1 Julai, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa beliau telah menghantar satu tweet mengenai kenaikan harga minyak dan kehadiran orang ramai di restoran ayam goreng KFC.

Abaikan tweet palsu

Kami mengharapkan pembaca serta pengikut Astro AWANI di Twitter, Facebook dan Instagram mengikuti kami di laman web www.astroawani.com untuk mendapatkan berita yang terkini dan sahih.

Untuk rekod, akaun Twitter rasmi Astro AWANI adalah @501Awani dan Facebook rasmi di www.facebook.com/astroawani.