MOSCOW: Saluran berita paling dipercayai di Malaysia, Astro AWANI dan Sputniknews.com membentuk kerjasama strategik sebagai usaha memperhebat penyediaan kandungan berita alternatif mengenai Rusia dan hal ehwal antarabangsa.

Idea membentuk kerjasama strategik ini muncul selepas diskusi bersama kedutaan Rusia di Malaysia dengan Ketua Pengarang Astro AWANI, Ashwad Ismail serta sekumpulan editor yang mencadangkan agar ilmu dan maklumat berkaitan Rusia diberi peluang dalam pemberitaan yang seimbang di platform media Malaysia.

Ashwad, dalam amanatnya yang dirakam lebih awal di platform Telegram berkata, Astro AWANI berbangga dapat berkolaborasi dengan Sputniknews.com sebagai agensi berita utama di Rusia.

Beliau berkata, banyak yang boleh dikongsi bersama dengan Sputniknews.com memandangkan sidang editorialnya yang ditunjangi ribuan wartawan serta koresponden berita berpengalaman.

"Melihat kepada peningkatan minat pembaca dan penonton terhadap kandungan yang seimbang, terutama dalam perspektif yang berbeza, ia mendorong kami membina kerjasama strategik dengan 'media lama ' seperti Sputnik, kerana pada akhirnya, kedua-dua media ini berkongsi hala tuju dan aspirasi besar untuk negara, Astro AWANI untuk Malaysia; Sputniknews.com untuk Rusia,'' kata Ashwad ketika mengulas mengenai kolaborasi kedua-dua syarikat itu secara rasmi, pada Isnin.

Kolaborasi Astro AWANI-Sputniknews.com diperkukuh dengan kunjungan editor dan penerbit AWANI Pagi, Azlinariah Abdullah ke ibu pejabat Sputniknews.com di Moscow, Rusia, semalam.

Kolaborasi Astro AWANI-Sputniknews.com diperkukuh dengan kunjungan editor dan penerbit AWANI Pagi, Azlinariah Abdullah ke ibu pejabat Sputniknews.com di Moscow.
Bagi kolaborasi kandungan, segmen Ringkas Sputnik memperluaskan lagi perspektif kandungan program berita global yang bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat jam 10 pagi di saluran 501 dan laporan portal bahasa Inggeris di astroawani.com

Manakala, Astro AWANI juga akan menyertai beberapa program pertukaran dan sesi seminar khusus untuk wartawan yang dirancang pihak Sputnik termasuk program Internship, InterRussia, yang bakal diadakan pada bulan depan.

Sementara itu, Ketua Bahagian Projek Antarabangsa, Agensi Berita Sputnik Rusia, Vasily Pushkov pula berkata, kerjasama media antara Malaysia dan Rusia sentiasa diperkukuhkan termasuk bidang kewartawanan, perkongsian maklumat berita serta laman media sosial.

Ujar beliau, hubungan media antara kedua-dua negara itu perlu bagi memastikan maklumat yang didapati sahih dan tidak ditokok tambah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab lebih-lebih lagi di waktu getir seperti ketika meletusnya perang atau konflik.

Lawatan editor AWANI Pagi, Azlinariah Abdullah ke pejabat Sputniknews.com di Moscow, Rusia. - Astro AWANI
Sambil mengalu-alukan kolaborasi dengan Astro AWANI yang merupakan stesen berita yang masih baharu tetapi berkembang pantas di Malaysia, beliau berkata, laporan berita seperti kes pencerobohan Rusia ke atas Ukraine perlu ditulis dengan tepat bagi memastikan orang ramai tidak salah faham dan keliru dengan pemberitaan yang ditulis.

“Saya yakin sebagai media yang diangkat sebagai saluran berita paling dipercayai di Malaysia, Astro AWANI boleh memberikan kerjasama dan akan terus lakukan yang terbaik, berintegriti serta bertindak sebagai ‘check and balance’ kepada kedua-dua negara supaya kita dapat lihat informasi yang diterima itu berterusan, lebih penting, adil dan seimbang,” katanya.

Malah, kata beliau, kerjasama yang diistilahkan sebagai `menang-menang’ itu adalah seiring dengan pelan jangka masa panjang agensi berita itu khususnya dalam membina hubungan serta kerjasama lebih luas dengan negara-negara lain di rantau Asean.

"Sebenarnya, Sputniknews.com pernah berkolaborasi dengan agensi berita Bernama, juga sebagai penyedia kandungan pada 2017, dan pengalaman tersebut menjadi pemangkin kepada kami untuk bekerja dengan Astro AWANI pula kali ini," katanya.

Sputnik, yang dilancarkan pada 10 November 2014 oleh Rossiya Segodnya, berpangkalan di Moscow dan memiliki pejabat wilayah di seluruh dunia seperti Amerika Syarikat, China, Perancis, Jerman, United Kingdom dan Arab Saudi.

Lawatan editor AWANI Pagi, Azlinariah Abdullah ke pejabat Sputniknews.com di Moscow, Rusia. - Astro AWANI
Tetapi, apabila berlaku pencerobohan tentera oleh Rusia ke atas Ukraine disusuli pelbagai siri sekatan, operasi Sputniknews.com di beberapa negara dihentikan untuk sementara waktu.