PUTRAJAYA: Tindakan Israel yang baru-baru ini mengarahkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) supaya memindahkan bekalan daripada gudang perubatannya di selatan Gaza dalam tempoh 24 jam ketika rejim itu meneruskan operasi daratnya, jelas tidak berperikemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan pada Rabu berkata ancaman terhadap badan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terutama yang menyediakan bantuan penting untuk menyelamatkan nyawa kepada mangsa konflik tidak boleh diterima dan tidak boleh dipertahankan.

"Tindakan tidak bertanggungjawab seperti ini bukan sahaja melanggar hak asasi rakyat Palestin, termasuk hak mereka untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan dan hak mereka untuk hidup, bahkan turut menjejaskan usaha untuk mencapai penyelesaian damai terhadap krisis yang berterusan," menurut Wisma Putra.

Pada Isnin, WHO berkata pihaknya dipaksa memindahkan bekalan dari gudang perubatan di selatan Gaza dalam tempoh 24 jam selepas tentera pendudukan Israel memberi amaran bahawa bekalan itu tidak dapat diakses susulan operasi darat di sana.

Wisma Putra berkata Malaysia dengan tegas mengutuk kekejaman berterusan oleh Pasukan Pendudukan Israel (IOF) di Gaza selepas berakhirnya jeda kemanusiaan selama seminggu pada 1 Dis.

Ia menekankan bahawa kegagalan masyarakat antarabangsa untuk bersuara atau bertindak menentang pelaku jenayah tertentu yang terus menikmati kekebalan di bawah alasan membela diri adalah tanda jelas amalan dwistandard.

"Ia menghakis kepercayaan terhadap sistem multilateral dan prinsip undang-undang antarabangsa yang telah lama didokong," menurut kenyataan itu.

Wisma Putra berkata masyarakat antarabangsa perlu bersatu dan bertindak dengan tegas dalam menuntut pelaku untuk menghentikan kegilaan ini, menghormati dan menyokong mandat organisasi antarabangsa dan menegakkan kesucian kemanusiaan.

"Hanya dengan cara ini kemajuan akan dicapai untuk merealisasikan visi negara Palestin yang bebas dan berdaulat, berdasarkan sempadan sebelum tahun 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya," katanya.

Sekurang-kurangnya 16,248 rakyat Palestin terbunuh dan lebih daripada 43,616 yang lain cedera dalam serangan udara dan darat Israel tanpa henti ke atas wilayah tersebut sejak 7 Okt.

-- BERNAMA