Sebelum bulan penuh rahmat itu berlalu meninggalkan kita, gunakan kesempatan yang ada untuk melakukan pecutan terakhir dan tidak mensia-siakannya.
Masakan tidak, Ramadan menjengah setahun sekali dan bertamu hanya sebulan.
Apatah lagi dalam fasa ketiga bulan mulia itu, terdapat satu malam yang begitu istimewa dipanggil sebagai lailatulqadar, lebih baik daripada 1,000 bulan.
Dalam sebuah hadis daripada Aisyah RA, beliau berkata: “Nabi Muhammad SAW apabila masuknya 10 hari terakhir (bulan Ramadan), Baginda akan mengetatkan ikatan di pinggangnya, Baginda menghidupkan malam harinya dan Baginda membangunkan ahli keluarganya (untuk beribadah).” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Merujuk kepada laman web Maktabah Albakri, terdapat beberapa amalan yang boleh dilakukan sepanjang 10 malam terakhir Ramadan seperti berikut:
1. Lakukan qiyam.
Maksud qiyam adalah menghidupkan malam hari pada bulan Ramadan dengan beribadah kepada ALLAH SWT antaranya menunaikan solat sunat tarawih baik secara berjemaah atau bersendirian.
Di samping itu, alangkah baiknya andai kita gandakan lagi usaha masing-masing dengan mengerjakan solat-solat sunat lain sekurang-kurangnya dua rakaat sebelum bersahur atau dua rakaat sebelum fajar. Mudah-mudahan ALLAH SWT menemukan kita dengan lailatulqadar dalam keadaan kita bersujud kepada-NYA.
2. Banyakkan baca al-Quran.
Amalan membaca al-Quran pahalanya dilipatgandakan oleh ALLAH SWT. Pada masa sama, semua amal kebajikan pada bulan Ramadan turut dilipatgandakan oleh-NYA.
Sebaiknya kita banyakkan membaca kalam ALLAH itu lebih-lebih lagi pada 10 hari terakhir bulan Ramadan. Semoga ia dapat memberatkan neraca amalan kebaikan kita.
3. Sedekah dan infak.
Daripada Ibnu Abbas RA, katanya: “Nabi Muhammad SAW ialah manusia yang paling pemurah. Kemuncak sifat pemurahnya di bulan Ramadan, ketika Jibril bertemu dengan Baginda SAW. Adapun Jibril AS menemuinya pada setiap malam bulan Ramadan dan saling bertadarus al-Quran dengan Baginda. Sesungguhnya Rasulullah SAW sangat pemurah dalam hal kebaikan daripada angin yang bertiup kencang.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Melihat kepada hadis itu, Rasulullah SAw banyak bersedekah pada bulan Ramadan, sekali gus menunjukkan bahawa amalan itu terdapat kelebihannya tersendiri.
4. Iktikaf.
Daripada Ibnu Umar RA, beliau berkata: “Rasulullah SAW biasa beriktikaf pada 10 hari terakhir bulan Ramadan.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Menurut Imam An-Nawawi, hukum beriktikaf ialah sunat muakkad dan ia disunatkan pada keseluruhan waktu, manakala pada 10 hari terakhir bulan Ramadan, amalan itu lebih dituntut.
5. Jamu orang berbuka puasa.
Galakan untuk memberi makan kepada orang yang berpuasa itu merupakan perkara yang thabit daripada hadis Nabi Muhammad SAW.
Baginda SAW bersabda: “Siapa yang menyediakan makanan berbuka buat orang yang berpuasa, maka dia mendapat pahala seperti orang yang berpuasa itu dan tidak dikurangkan sedikit pun daripada pahala orang yang berpuasa itu.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)
Ayuh sama-sama kita merebut peluang itu untuk terus melakukan semua amalan tersebut. - Sinar Harian
