Sebagai sebahagian daripada pembaharuan besar itu, universiti tersebut akan menerima pakai definisi baharu tentang antisemitisme dan memperluaskan “kepelbagaian intelektual” dengan menambah kakitangan di Institut Kajian Israel dan Yahudi, menurut surat yang diterbitkan pada hari Jumaat oleh Presiden Interim, Katrina Armstrong.
Pengumuman itu segera mendapat kecaman daripada beberapa ahli fakulti dan kumpulan kebebasan bersuara yang menuduh universiti tersebut tunduk kepada campur tangan luar biasa Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dalam kebebasan akademik sekolah itu.
“Penyerahan diri Columbia ini membahayakan kebebasan akademik dan ekspresi di kampus-kampus di seluruh negara,” kata Donna Lieberman, Pengarah Eksekutif Kesatuan Kebebasan Sivil New York (New
York Civil Liberties Union), dalam satu kenyataan.
Awal bulan ini, pentadbiran Trump telah menarik balik geran penyelidikan dan dana lain bernilai AS$400 juta kerana pengendalian universiti itu terhadap protes menentang kempen ketenteraan Israel di Gaza.
Sebagai syarat untuk mengembalikan dana tersebut - bersama berbilion dolar lagi dalam geran masa depan - pegawai persekutuan minggu lalu menuntut agar universiti itu segera melaksanakan sembilan reformasi berasingan pada polisi akademik dan keselamatannya.
Dalam responsnya pada hari Jumaat, Armstrong berkata, Columbia University akan melaksanakan hampir kesemua tuntutan tersebut.
Beliau bersetuju untuk memperbaharui proses disiplin yang sudah lama diguna pakai di universiti itu dan melarang protes di dalam bangunan akademik.
Pelajar juga tidak akan dibenarkan memakai topeng muka di kampus “dengan tujuan untuk menyembunyikan identiti.”
Namun, pengecualian akan diberikan kepada mereka yang memakainya atas sebab kesihatan.
Universiti itu juga akan melantik seorang Timbalan Naib Canselor (Akademik) kanan baharu untuk menilai kepimpinan dan kurikulum beberapa jabatan pengajian antarabangsa bagi “memastikan penawaran pendidikan adalah menyeluruh dan seimbang.”
Pelantikan tersebut kelihatan sebagai satu konsesi kepada tuntutan paling kontroversial pentadbiran Trump: meletakkan Jabatan Pengajian Timur Tengah, Asia Selatan dan Afrika di bawah “penerimaan akademik wajib (academic receivership) untuk tempoh minimum lima tahun.”
“Ia merupakan satu eskalasi yang tidak pernah berlaku sebelum ini,” kata Joan Scott, seorang ahli sejarah dan anggota jawatankuasa kebebasan akademik di Persatuan Profesor Universiti Amerika, merujuk kepada tuntutan penerimaan akademik tersebut minggu lalu.
“Malah semasa era McCarthy di Amerika Syarikat, perkara seperti ini tidak pernah dilakukan.”
Pentadbiran Trump berulang kali menuduh Columbia University membiarkan antisemitisme berleluasa semasa protes menentang Israel yang bermula di universiti itu pada musim bunga lalu dan dengan cepat merebak ke kampus-kampus lain.
Dalam suratnya, Armstrong menulis “cara Columbia dan warga Columbia digambarkan adalah sukar untuk diterima. Memang kami menghadapi cabaran, tetapi cabaran tersebut tidak menentukan siapa kami.”
Walaupun Trump menjadikan Columbia sasaran paling ketara dalam tindakan kerasnya terhadap pendidikan tinggi, beliau turut memberi amaran kepada universiti lain bahawa mereka juga akan menghadapi pemotongan dana jika tidak mematuhi agendanya.
Minggu lalu, pentadbirannya mengumumkan siasatan ke atas 52 universiti berhubung program kepelbagaian, kesaksamaan, dan keterangkuman yang mereka laksanakan. - Agensi
